THIAGO (tengah) diumumkan sebagai pemenang Anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM - Asiana.my untuk September lalu.

Alor Setar: Pengumuman penyerang Kedah Thiago Augusto Fernandes sebagai pemenang Anugerah Pemain Terbaik Bulanan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) - Asiana.my untuk September ternyata menggembirakannya.

Thiago Augusto berkata, beliau tidak menyangka dapat menewaskan empat pemain lain yang dianggap hebat dalam calon pemilihan ini kerana semuanya berpengalaman bersama pasukan masing masing.

“Terima kasih semua penyokong yang mengundi saya. Dengan pemilihan ini, saya bertambah semangat dan bermotivasi untuk meneruskan usaha membantu Kedah mengharungi perlawanan akhir Piala Malaysia dengan menjuarainya tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas menerima hadiah plak dan wang tunai RM1,500 sumbangan MVP Sport Agency. Gambar serta bingkai pula sumbangan Asiana.my di Padang Sintetik Peremba, di sini, semalam.

Pemilihan ke atas undian yang dibuka kepada umum pada 4 Oktober lalu dilakukan melalui undian di laman sesawang rasmi PFAM iaitu www.pfam.my

Ternyata kehadiran Thiago dalam pasukan Kedah sejak Julai lalu memberi satu impak positif dan antaranya membantu Kedah menduduki tempat ketiga Liga Super dan terkini layak ke pusingan akhir Piala Malaysia.

Pemilihan dibuat panel pemilih PFAM -Asiana.my membabitkan daripada pengamal media yang memilih dan menyenarai pendek Augusto yang menerima undian tertinggi 7,530 (55.96%) mengalahkan calon lain Juan Martin Lucero dari Johor Darul Takzim (Johor DT), 3,225 undian (23.97%), Indra Putra Mahayuddin Kelantan, 1,983 undian (14.74%), Matthew Davies dari Pahang, 586 undian (4.35%) dan Fakhrul Aiman Sidid PDRM, 133 undian (0.99%).

Turut hadir dalam penyampaian anugerah ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif PFAM Izham Ismail, Timbalan Presiden PFAM Rezal Zambery dan Exco Rudie Ramli serta Fairuz Abdul Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 11:35 AM