PERJUANGAN terakhir Rimba Bara.
PERJUANGAN terakhir Rimba Bara.
RIMBA Bara (dari kiri ) Slash Haji Tapah, Jijo, Zul Kapan dan Black.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


Selepas berjaya menggeletek penonton menerusi Rock pada 2005 dan Rock Oo! (2013), pengarah popular Mamat Khalid kini kembali dengan sekuel ketiganya, Rock Bro yang menjadi pelengkap serta penutup filem yang mengangkat kisah perjuangan rocker tanah air era 1980-an dan awal 1990-an itu.

Apa yang menarik, Rock Bro! dilihat jauh lebih matang apabila dan dilihat lebih peribadi serta tidak tertumpu kepada komedi semata-mata.

Ia bukan saja memaparkan era kegemilangan muzik rock yang makin pudar pada awal 1990-an, tetapi turut mengupas kembara hidup setiap anggota kumpulan Rimba Bara dari zaman kanak-kanak hingga dewasa.

Menerusi filem terbabit, pertaruhan Mamat dalam filem komedi sewajarnya dipuji kerana pengolahan jalan cerita yang menarik serta elemen ditetapkan adalah spontan dan tidak dibuat-buat.

Buktinya, ketika melihat kepada penerimaan awal dan respons positif penonton pada malam gala filem itu kelmarin, ia seperti memberi harapan Rock Bro bakal mencetuskan fenomena tersendiri apabila tidak perlu memaksa penonton untuk ketawa terbahak-bahak.

Mengekalkan pelakon seperti Khir Rahman, Pekin Ibrahim, Soffi Jikan dan Azmi Bahron, ia formula menjadi buat Mamat dalam mengekalkan populariti filem itu.

Khir berkata, trilogi filem Rock ini menceritakan semiotik sebenar mengenai dunia muzik rock tanah air secara keseluruhan.

“Selain penutup kepada perjalanan hidup setiap anggota Rimba Bara, filem ini juga menceritakan detik pahit manis serta pasang surut yang dilalui rocker tanah air dari era kegemilangan sehingga peringkat akhir hidup mereka.

“Menerusi filem ini saya dapat lihat kesungguhan dan kepayahan Mamat untuk ‘membulatkan’ cerita ini. Saya bangga dengannya kerana tanpa membuang zat-zat lepas dalam sekuel terdahulu, dia berjaya merangkumkan cerita itu dengan berkesan selain menyuntik elemen baru iaitu menceritakan alam personal setiap watak dalam filem itu,” katanya yang memegang watak sebagai Jijo.

Menyentuh mengenai watak Jijo, Khir berkata, peranannya lebih berat apabila menjadi tulang belakang Rimba Bara, malah Mamat menonjolkan sisi peribadi rocker itu yang belum pernah dikongsi dengan penonton menerusi dua karya terdahulu.

“Secara keseluruhan saya sangat berpuas hati kerana watak Jijo mempunyai tiga dimensi yang pada mulanya dia menceritakan pembabitannya dalam Rimba Bara, kemudian berada di alam percintaan dan mengambil keputusan bersendiri serta bagaimana dia menoktahkan hidupnya,” katanya.

Rock Bro! memaparkan kehidupan anggota kumpulan Rimba Bara yang berpecah dan bersatu semula kerana ingin terus gah dalam persada muzik tanah air.

Filem terbitan bersama Grand Brilliance Sdn Bhd dan Enjit Semut Sdn Bhd ini menemui penonton pada 27 Oktober ini.

Rock Bro turut dibintangi Kamarool Yusof, Amy Juliet, Datuk Hattan serta penampilan istimewa Shuib Sepahtu, Man Kidal, Yan Lefthanded dan Black Wings.

Pekin hampir berhenti berlakon

Pekin Ibrahim pula menyifatkan watak sebagai Slash Haji Tapah yang dipikul dalam Rimba Bara sememangnya wujud di alam realiti. Malah, ketika tayangan malam kelmarin dia dilihat menitiskan air mata.

Pekin berkata, ketika membaca skrip dia sudah dapat berasakan kesedihan dan derita yang dialami Slash. Malah, setiap karakter memberikan emosi yang tepat sehingga dia gagal mengawal emosi ketika menonton filem ini.

“Saya berasakan watak Slash dan band Rimba Bara ini memang wujud dalam realiti. Kepayahan dan kesusahan yang dilalui Slash untuk meneruskan kehidupan hampir sama dengan diri saya.

“Bezanya saya seorang pelakon di alam realiti. Saya membayangkan kehidupan saya sebagai anak seni yang terpaksa berdepan liku-liku kehidupan sebelum bertemu kebahagiaan dalam bidang lakonan. Momen itu yang membuatkan saya sedih dan terkesan,” katanya.

Ditanya kenapa kesengsaraan watak Slash yang dibawanya terasa begitu dekat, Pekin berkata, sebelum dia merima pelawaan Mamat untuk membintangi filem ini, dia sebenarnya hampir mahu menarik diri dalam bidang lakonan.

Katanya, dia kesal dengan sikap segelintir pihak yang memberikan harapan palsu sehingga membuat dirinya tidak bernilai.

“Bagi saya kesengsaraan Slash sangat ‘real’ kerana sebelum menjalani penggambaran filem ini tahun lalu, saya sebenarnya hampir patah semangat dan mahu berhenti berlakon kerana terkilan dengan sikap manusia yang tidak mempunyai hati dan perasaan.

“Ini kerana ketika itu saya mendapat satu tawaran berlakon filem, tetapi entah kenapa nama saya digugurkan biarpun sudah melakukan proses latihan.

“Mujur ada Mamat yang mengembalikan semangat saya untuk terus berlakon. Dia berjumpa dan memberikan kata semangat. Sejak itu, saya selalu berfikir biar susah senang saya buat sendiri. Lagipun saya pecaya aturan Allah itu jauh lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 12:16 PM