BEBERAPA kanak-kanak cuba mendekati dan menyentuh ‘patung’ emas berkenaan.
BEBERAPA kanak-kanak cuba mendekati dan menyentuh ‘patung’ emas berkenaan.
Rodly Fadly


Satu ‘patung emas’ seolah-olah menjadi mercu tanda di lokasi tumpuan pelancong di Bandar Hilir, Melaka.

Kebanyakan mereka yang melalui kawasan itu pasti berhenti seketika untuk merakam gambar ‘patung’ berkenaan sama ada dari jauh atau bergaya di sebelahnya.

Di depan ‘patung’ itu diletakkan bekas ditulis dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Cina meminta mereka yang mengambil gambar memasukkan RM2 ke dalam bekas berkenaan.

Memang pelancong tidak kisah mengeluarkan wang sebanyak itu kerana yang penting mereka boleh menjadikan gambar bersama ‘patung emas’ itu sebagai kenangan-kenangan ketika berkunjung ke Melaka.

Tetapi ketika seorang kanak-kanak yang ternyata sangat teruja menyentuh ‘patung’ berkenaan, ia tiba-tiba bangun menyebabkan budak lelaki itu terperanjat. Barulah mereka tahu ‘patung’ itu sebenarnya manusia.

Begitulah gelagat ‘lelaki emas’ yang menjadi daya tarikan kepada pelancong yang bersiar-siar di sekitar Bandar Hilir. Sejak setahun lalu, dia mencari rezeki di sekitar Melaka terutama di lokasi tumpuan pelancong.

Memperkenalkan diri sebagai ‘Mr Gold Man’, Liew Wee Sing, 63, memberitahu dia menjadi ‘lelaki emas’ sejak sembilan tahun lalu. Bermula secara suka-suka, ia kini menjadi punca rezeki untuk menyara hidup.

“Saya mendapat idea untuk menjadi ‘lelaki emas’ selepas melihat gelagat seorang lelaki berpakaian perak ketika bercuti di Pulau Pinang. Ketika itu ramai pelancong berebut-rebut bergambar dengannya.

“Dari jauh saya memerhati dan dalam perkiraan saya, banyak juga wang diperoleh ‘lelaki perak’ berkenaan. Kerjanya sangat mudah, mengenakan kostum serta cat wajah dengan warna perak. Dia hanya perlu menunggu pelanggan mahu bergambar lalu mengenakan caj minimum.

“Saya terfikir, kalau saya dapat meniru lelaki itu dengan memakai kostum berwarna emas, sudah tentu ia lebih menarik perhatian pelancong.

“Bila balik ke Kuala Lumpur, dengan sedikit wang simpanan saya menempah pakaian berwarna emas lalu mencuba nasib di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Ternyata sambutan yang saya terima sangat luar biasa.

“Pada awalnya, saya melakukannya sekadar untuk suka-suka bagi menghilangkan tekanan ekoran perniagaan saya merudum. Tapi, selepas beberapa bulan, saya dapati pendapatan hasil menjadi ‘orang emas’ agak lumayan menyebabkan saya nekas menjadikannya pekerjaan tetap,” cerita Liew.

Dia mengenakan caj RM2 kepada setiap orang yang mahu mengambil gambar atau bergambar dengannya.

Lelaki berasal dari Tanjung Malim, Perak itu memberitahu, dia membelanjakan hampir RM3,000 untuk menyediakan lima pasang kostum emas.

Selain Melaka dan Bukit Bintang, Liew pernah memperagakan keunikan dirinya di Pulau Pinang, Langkawi, Kelantan dan Genting Highlands. Dia juga kerap menerima jemputan memeriahkan majlis makan malam, hari jadi atau majlis korporat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 12:27 PM