NUR Hasanah johan qariah dari Pahang.
JALALUDDIN menerima hadiah daripada Tajuddin (tiga dari kiri).
Mohamad Hussin


“Arwah ayah sering menggalakkan kami membaca al-Quran sejak kecil. Seawal darjah tiga saya sudah mula menyertai pertandingan tilawah dan berlanjutan sehingga kini.

“Untuk lancar kita perlu membaca al-Quran setiap hari,” kata Jalaluddin Hashim, 32, johan qari Tilawah al-Quran Peladang Peringkat Kebangsaan.

Majlis kali keempat anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) itu diadakan di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Johan qariah pula disandang Nur Hasanah Ahmad Tajudin 30, dari Triang, Pahang.

Jalaluddin yang berasal dari Bera, Pahang, bersyukur kerana terpilih sebagai johan qari tahun ini.

Beliau yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kumai, Bera mengakui membaca al-Quran dijadikan amalan sejak kecil.

Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Turut hadir wakil Pengerusi NAFAS Datuk Ibrahim Jahaya, Pengerusi LPP Tan Sri Zainal Dahalan dan Pemangku Pengurus Besar NAFAS Nordin Ibrohim.

Pada pertandingan itu, Jalaluddin yang juga ahli Peladang kawasan Bera memperdengarkan bacaan surah ar-Ra’d.

Menurutnya, bekas johan tilawah peringkat antarabangsa Datuk Ahmad Faizul Ghazali banyak membimbing cara bacaannya terutama dalam aspek taranum selain belajar daripada tahfiz berpengalaman.

Sementara itu, Hasanah bersyukur atas kejayaannya selepas beberapa kali menyertai tilawah al-Quran.

“Alhamdulillah, tahun ini menjadi rezeki saya selepas menyertai pertandingan. Saya mula menyertai tilawah al-Quran sejak bersekolah lagi,” katanya yang memperdengarkan bacaan Surah Yusuf.

Tilawah al-Quran Peladang Peringkat Kebangsaan anjuran NAFAS diadakan sejak tahun 2013. ‘Makanan Kita Masa Depan Kita’ menjadi tema tilawah kali ini dengan 25 qari dan qariah bertanding.

Majlis berkenaan antara program pembangunan modal insan yang termaktub sebagai teras strategi pertama dalam Program Transformasi NAFAS 2010-2020.

Johan qari dan qariah membawa pulang wang tunai RM10,000, pakej umrah dan piala pusingan. Naib johan qari dimenangi Zainur Irsyadi Zainal dari Negeri Sembilan manakala tempat ketiga Abu Shamad bin Muda dari Terengganu.

Naib johan qariah dari Selangor, Nur Fathiyah Panut dan tempat ketiga Norhashimah Md Ashari.

Pemenang tempat kedua membawa pulang wang tunai RM8,000 dan tempat ketiga RM5,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 12:30 PM