Niat untuk memenangi hati isteri yang meminati potongan kasut sukar didapati di pasaran tempatan, menjadi titik tolak kepada Zaid Arif Zubir, 28, untuk berkecimpung dengan serius dalam perniagaan sepatu.

Pada mulanya dia mencari kasut itu dan membeli secara dalam talian untuk dihadiahkan kepada isterinya, Nadiah Nur Akmal Osman, 28, yang ketika itu masih bergelar teman wanitanya dan tidak sangka ramai rakan Nadiah juga tertarik serta mahu menempah kasut yang sama.

Ini secara tidak langsung membuatkan dia sedar mengenai pasaran kasut di negara ini ditambah pula minat mendalam dalam bidang perniagaan, memberikannya ilham untuk mula mencari duit poket melalui penjualan sepatu.

Selepas tamat pengajian, dia bekerja sementara di sebuah syarikat korporat namun hanya mampu bertahan tiga bulan kerana hatinya meronta mahu mencari sendiri rezeki melalui perniagaan.

Disebabkan ingin belajar selok-belok cara berniaga kasut, Zaid sanggup menuntut ilmu dan mengikut rakan yang berniaga di pasar malam Uptown Danau Kota selama empat tahun sambil belajar cara membuat kasut sendiri.

Sepanjang tempoh itu, dia semakin matang dalam perniagaan dan belajar mengenai hukum permintaan dan bekalan, memahami kehendak dan minat pelanggan selain belajar daripada kesilapan.

Dalam mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi, dia juga belajar cara membuat laman web supaya boleh mendekati lebih ramai pelanggan dan mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan laman webnya sendiri.

“Disebabkan mempunyai pengetahuan menghasilkan laman web sendiri, saya juga ada membantu mereka yang mahukan laman web. Pernah juga terfikir untuk menjadi pereka bentuk laman web tetapi sukar kerana persaingannya sengit,” katanya.

Timba pengalaman di pasar malam

“Berniaga selama empat tahun di pasar malam membuka mata saya mengenai apa yang disukai pelanggan dan belajar daripada kesilapan yang menyebabkan saya kerugian.

“Saya pernah kerugian sehingga RM80,000 termasuk kereta ditarik pihak bank kerana ketika itu silap apabila membeli terlalu banyak kasut tetapi tidak dapat menjualnya, biarpun pada pandangan saya kasut itu cantik.

“Dari situ, saya belajar banyak perkara penting dalam perniagaan dan ia menjadi asas pemahaman saya dalam perniagaan,” katanya ketika ditemui di kedainya di Etiqa Twins, Jalan Pinang, Kuala Lumpur.

Biarpun kecewa dia tidak membiarkan perkara itu menyebabkannya terduduk, tetapi sentiasa berfikiran positif dan percaya dengan rezeki yang sudah ditetapkan untuknya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) ini kini menumpukan perhatian pada perniagaan kasut kulit lelaki jenamanya sendiri, Zeve, yang diperbuat daripada tangan.

Menurutnya, minatnya dalam perniagaan memang kuat sejak masih belajar malah dalam mengejar keuntungan, dia pernah terjebak satu skim perniagaan sehingga pelajarannya ketika itu yang menuntut di semester ketiga jurusan kejuruteraan mekanikal di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) terjejas.

Selepas diberi kata dua oleh ayahnya dan diberi nasihat, Zaid berhenti terbabit dengan perniagaan berkenaan dan menukar jurusan ke UniRazak kerana sedar minatnya dalam perniagaan.

“Ketika belajar di UTP saya seolah-olah memberontak kerana pada saya hidup sudah terlalu lama tertumpu pada pelajaran dan kini mahu berniaga pula.

“Saya bersyukur kerana ayah memberi sokongan dan menggalakkan serius dalam perniagaan. Akhirnya saya membuat keputusan untuk terbabit dalam perniagaan kasut lelaki dengan jenama sendiri bermula Oktober tahun lalu.

“Melihat kepada kasut gaya Itali, saya tertarik menghasilkan sendiri kasut yang elegan, berkualiti dan diperbuat daripada kulit tetapi dijual pada harga jauh lebih murah berbanding kasut gaya sama diimport dari luar negara,” katanya.

Memasarkan kasutnya pada harga antara RM289 hingga RM319, ia mendapat sambutan menggalakkan pelanggan yang mahu alternatif bagi rekaan sama yang setaraf dengan kasut berjenama antarabangsa.

Malah Zaid yang mempunyai cita-cita besar mengangkat fesyen kasut lelaki ke tahap lebih tinggi, turut mengambil tempahan kasut bagi mereka yang memiliki saiz kaki terlalu kecil atau terlalu besar.

Memiliki kilang sendiri dengan lapan pekerja berpusat di Gombak, Zaid berkata, ia mampu menghasilkan kira-kira 15 hingga 18 kasut sehari dan menyiapkan tempahan khas pelanggan dalam tempoh dua minggu.

Melihat kepada perancangan masa depan, Zaid berharap dapat membuka antara lima hingga 10 kedai di bandar besar termasuk di Johor, Pulau Pinang, Langkawi, Ipoh dan Kuantan dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Saya juga memasang impian memasarkan kasut dan memulakan francais hingga ke peringkat global dalam tempoh lima tahun dari sekarang, selain melatih lebih ramai pekerja untuk meningkatkan pengeluaran,” katanya yang turut memaparkan koleksi Zeve di laman Facebook/ zeveshoes dan Instagram/zeveshoes. -Faizatul Farlin Farush Khan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 12:54 PM