ZAITON simpati nasib mangsa di Cappadocia.
ANTARA teraju filem Manisnya Cinta Di Cappadocia.
Oleh Georgie Joseph

Tragedi belon udara panas terhempas di Cappadocia, Turki yang mengakibatkan seorang pelancong warga China maut dan lima pelancong Malaysia parah, pagi kelmarin memang mengejutkan.

Cappadocia adalah antara lokasi pelancongan popular di dunia dan kejadian itu turut mengejutkan produser filem Manisnya Cinta Di Cappadocia, Datin Zaiton Mohd Jiwa di mana filem berkenaan menjalani penggambaran di sana.

Filem lakonan Lisa Surihani, Shaheizy Sam dan Nur Fazura terbitan Global Station Sdn Bhd dan Astro Shaw itu mula ditayangkan sejak 11 Disember lalu.

Zaiton ketika dihubungi berkata, dia tidak menyangka kejadian itu berlaku di sana apatah lagi mereka sendiri pernah ke sana untuk penggambaran filem berkenaan.

"Ada sebabnya lokasi itu dipilih untuk penggambaran filem berkenaan yang tentunya bukan sebab ia popular saja namun akan memberikan pengalaman indah juga. Saya berharap dengan kejadian itu, pihak berkaitan akan mengetatkan lagi aspek keselamatannya," katanya.

Ditanya mengenai perkembangan terbaru filem terbabit selepas lebih seminggu ditayangkan, Zaiton yang juga mesra dengan panggilan Kak Ton menyifatkan sambutan diterima cukup melegakannya.

Apa lagi dalam pasaran filem tempatan yang agak tenat selepas jumlah kutipan di panggung tidak lagi memberangsangkan sebagaimana tahun-tahun sebelumnya.

"Selepas sembilan hari tayangan, kutipan sudah melebihi RM1 juta. Satu pencapaian yang cukup positif memandangkan jika melihat senario kutipan filem tahun ini, jelas sangat mendukacitakan.

"Dengan tempoh tayangan yang masih berbaki, saya benar-benar harapkan ia dapat menarik penonton lagi untuk ke panggung. Bukanlah mengharap terlalu tinggi, cukup mencapai tahap yang kami sasarkan.

"Sekurang-kurangnya kutipan itu sendiri boleh menjadi kebangkitan semula kepada pencapaian filem-filem lain akan datang pula selain pasaran kita pulih seperti sebelum ini," katanya.

Gandingan Fazura dan Lisa dalam filem ini mendapat pujian penonton selain jalan ceritanya turut mencuit hati.

Sementara itu, sebuah lagi filem juga kolaborasi Global dan Astro Shaw berjudul Suamiku Encik Perfect 10 bakal masuk panggung pada 22 Januari tahun depan.

Juga diadaptasi daripada novel, filem itu bakal menggandingkan semula Aaron Aziz dan Lisa Surihani yang pernah berganding dalam Ombak Rindu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:04 AM