Junaidi Ladjana dan Recqueal Raimi


Kota Belud: Polis masih menyiasat punca kemalangan sehingga mengorbankan tujuh nyawa, termasuk tiga kanak-kanak di Jalan Kota Belud-Kota Marudu di Kampung Keguraan, di sini, awal hari ini.

Dalam kejadian 5.55 pagi itu, tujuh meninggal dunia, tiga parah manakala dua cedera.

Mangsa terbunuh adalah Frenwell Jefery, 31, (pemandu) adiknya, Herlin Naxe Jeffery, 26, dan seorang lagi rakan mereka iaitu Ellyzek Johnny (L), 28. Mereka menaiki Proton Gen2.

Mangsa maut daripada Proton Saga pula adalah Hamirah Salleh, 39, Nursyikah Jumat, 3, abangnya Aidil Jumat (L), 8 dan Vera Adira Jalius, 6.

Mereka yang adalah Alibasa Alibasa, 24, (pemandu Proton Saga), Neta Ramlan, 37, Sarini Body, 21.

Pemandu Perodua Kancil, Azimah Jiran, 34, dan pemandu Toyota Hilux, Mapinsin Lagung, 45, hanya cedera.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah, berkata siasatan awal mendapati pemandu Proton Gen 2 dari Kota Belud menghala ke Kota Marudu dipercayai hilang kawalan lalu merempuh tiga kenderaan dari arah bertentangan.

"Akibat pertembungan itu, enam mangsa maut di tempat kejadian, seorang mangsa meninggal di Hospital Kota Belud manakala tiga mangsa parah dan dua cedera.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti punca sebenar kemalangan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Sehubungan itu, polis amat memohon kerjasama orang ramai terutama saksi kejadian yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu.

"Orang ramai boleh menghubungi Balai Polis Trafik Kota Belud di talian 088-976600 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 4:18 PM