Skip this ad x
Ahmad Salim Bachok

Laporan mengenai tindakan pemandu teksi memulangkan lebih 10,000 kenderaan mereka kepada beberapa syarikat pengendali sistem pengangkutan itu baru-baru ini sesungguhnya amat malang sekali. Lebih menyedihkan, dijangkakan lebih 20,000 lagi pemandu teksi akan melakukan tindakan yang serupa dalam masa terdekat.

Tindakan ini sekurang-kurang akan memberi kesan buruk kepada 30,000 pemandu teksi atau sekitar 150,000 isi rumah yang bergantung hidup kepada pendapatan yang dijana oleh lebih 30,000 teksi berkenaan. Sesungguhnya, ia adalah satu tragedi kemanusiaan yang perlu diberi perhatian oleh pihak berkaitan, terutamanya kerajaan.

Tindakan terdesak itu dikatakan berikutan berkurangnya jumlah penumpang teksi secara mendadak akibat kemunculan perkhidmatan ‘ride-sharing app’ seperti Uber dan Grab. Sebenarnya perkhidmatan membawa penumpang berasaskan aplikasi ini bukan saja berlaku di Malaysia, tetapi di hampir semua bandar raya utama seluruh dunia.

Di Malaysia, Uber dan Grab dituduh merampas pendapatan pemandu teksi tradisional hingga ada antara mereka yang bertindak balas secara fizikal dengan mengadakan demonstrasi di tengah-tengah ibu kota pada waktu puncak hingga menyebabkan kesesakan teruk. Malah hingga ada nekad mengasari dan memukul pemandu Uber.

Terbaru, ada syarikat teksi yang mengharamkan pemandu Uber dan Grab daripada memasuki dan mengambil penumpang di kawasan tertentu, dengan alasan mereka mempunyai perjanjian tertentu dengan pemilik premis terbabit. Dalam kata lain, ada tempat tertentu yang diisytihar sebagai wilayah khusus teksi mereka dan ia menjadi zon larangan kepada pihak lain.

Tindakan tidak bijak dan keanak-anakan ini sebenarnya tidak menguntungkan mana-mana pihak, terutama kepada industri teksi yang sememangnya sudah memasuki zaman suram ini. Ia akan hanya menambah rasa meluat dan muak pengguna teksi yang memang sudah lama memendam rasa terhadap sistem pengangkutan teksi yang dianggap tidak mesra penumpang ini.

Antara imej negatif yang dikaitkan dengan teksi kita ialah enggan menggunakan meter, menipu tambang, memilih penumpang, sengaja melalui jalan yang jauh untuk ke destinasi yang diminta, teksi terlalu buruk dan uzur, kotor dan berbau selain pemandunya kasar, perengus, selekeh, tidak mesra serta kurang bersopan ketika membawa penumpang.

Kemuncak kepada ‘kehebatan’ imej teksi kita ini ialah apabila pemandu teksi Kuala Lumpur telah dinobatkan sebagai penerima anugerah Pemandu Teksi Terburuk Dunia pada tahun lalu.

Sebagai rakyat sebuah negara yang terkenal kerana ketinggian budi bahasa dan akal budinya, gelaran Pemandu Teksi Terburuk Dunia itu sepatut dijadikan cermin diri dan iktibar untuk memperbaiki mutu perkhidmatan industri teksi di negara ini.

Tetapi sebaliknya pula yang berlaku apabila pemandu teksi kita turun beramai-ramai berdemonstrasi di Bukit Bintang hingga menyusahkan orang ramai serta ada yang menunjuk kuat membelasah dan memaki hamun pemandu Uber dan Grab yang sama-sama mencari rezeki seperti mereka.

Maka tentunya tidak menghairankan apabila pengguna atau penumpang teksi yang telah lama makan hati ini berhijrah secara beramai-ramai beralih kepada perkhidmatan baru yang bukan saja lebih baik dan amat mesra pengguna, tetapi mengenakan tambang yang lebih murah dan berpatutan.

Bukan saja menawarkan perkhidmatan yang lebih baik dan cekap, Uber dan Grab turut menggunakan kemudahan telefon pintar sebagai peranti bagi memudahkan penumpang mendapatkan khidmat pengangkutan. Dengan kelebihan teknologi di hujung jari, kini perjalanan ke setiap destinasi boleh dibuat pada bila-bila masa dengan lebih cepat, selamat dan selesa.

Sebenarnya masih belum terlambat untuk pemandu teksi lama untuk turut menerima perubahan dalam industri teksi yang kini menjadi trend atau ikutan di seluruh dunia. Seperti Uber yang menggunakan kelebihan aplikasi atas talian sebagai asas penting model perniagaannya, maka pemandu teksi juga perlu menerima dan menggunakan sepenuhnya teknologi digital ini di dalam perkhidmatan mereka.

Ambillah kesempatan atas kegilaan pengguna terhadap telefon pintar, di mana kini ia bukan saja digunakan sebagai alat perhubungan, tetapi juga pelbagai kegunaan lain seperti untuk mendapatkan sumber berita, membuat urusan bank, membeli-belah, bergosip serta segala macam keperluan lain, termasuk untuk memanggil teksi.

Bagaimanapun, lebih penting pastikan pemandu teksi kita turut mengubah sikap buruk yang pernah menjadikan kita bergelar pemandu teksi terburuk dunia pada tahun lalu kepada gelaran baru yang lebih positif dan boleh mengharumkan nama negara.

Contohnya, tahun depan mungkin kita boleh mendapat gelaran Pemandu Teksi Terbaik Asia, sebelum selangkah lagi kepada gelaran Pemandu Teksi Terbaik Dunia pada tahun berikutnya. Insya-Allah.

Penulis Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 10:37 PM