KENYATAAN Ketua Polis Negara
Mohd Fadly Samsudin


Kuala Lumpur: Polis menafikan doktor ditendang anggota Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) ketika Op Tajam mengesan penjenayah di Hospital Serdang, 7 Oktober lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata ketika menjalankan operasi itu polis terpaksa menahan Dr R Thanendran yang bertugas di hospital itu berikutan tindakannya cuba melarikan diri ketika serbuan dijalankan.

Menurutnya, susulan insiden itu doktor pakar Hospital Pakar Damansara membangkitkan isu tangkapan itu dan mendakwa doktor berkenaan ditendang hingga jatuh ke tanah.

"Kenyataan ini tidak benar kerana dalam laporan perubatan, Dr Thanendran menyatakan beliau jatuh sendiri berhampiran tangga menuju ke arah lobi hospital bukannya ditendang atau ditumbuk anggota polis.

"Dalam proses tangkapan itu, beliau turut melawan sehingga memaksa anggota polis menggarinya.

"Gari hanya dibuka selepas doktor bedah Hospital Serdang mengesahkan beliau seorang daripada doktor bertugas di hospital itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam Op Tajam 7 Oktober lalu, anggota STAFOC menahan tujuh individu di gerai Hospital Serdang selepas mendapati mereka terbabit dalam kes samun.

Tangkapan dilakukan hasil maklumat selepas kumpulan penjenayah terbabit menyamun rumah di Taman Jelok Impian, Kajang, pada hari sama.

Khalid berkata, polis kesal apabila ada pihak mendakwa doktor berkenaan dianiaya sedangkan pegawai dan anggota terbabit dalam operasi itu menjalankan tugas mereka mengikut SOP.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2016 @ 1:40 PM