FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my


Baling: Dua beranak cedera apabila motosikal mereka terbabas selepas direntap peragut di Jalan Baling-Kupang, dekat Pekan Lama Pulai, kira-kira 12 tengah hari ini.

Dua beranak, Shakinah Md Derani, 42, dari Kampung Setol, Pulai, dan anak perempuannya, Nurul Izzati Ibrahim, 16, ketika itu dalam perjalanan pulang.

Mereka mendakwa baru pulang selepas melakukan pemeriksaan kesihatan di farmasi di pekan Baling.

Shakinah berkata, sebaik tiba di tempat kejadian dia terkejut beg yang diletakkan di atas riba tiba-tiba direntap menyebabkan motosikal ditunggang anaknya hilang kawalan sebelum terbabas.

"Saya sempat bergelut dengan menarik beg tangan tetapi gagal kerana kudrat lelaki itu kuat menyebabkan saya dan anak terjatuh.

"Saya sempat melihat lelaki itu memecut motosikalnya. Saya kemudian meminta pertolongan orang ramai yang berada di kawasan itu untuk membantu," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Menurutnya, mujur beg tangannya itu diperoleh semula apabila orang ramai berjaya menangkap lelaki itu kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling Superitendan Shariffuddin Yusuf berkata, lelaki itu ditangkap dengan kerjasama penduduk dan dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan sebelum ditahan bagi membantu siasatan polis.

"Lelaki berkenaan juga adalah orang kena perintah buang daerah (PCO) di Pengkalan Hulu, Perak. Tempoh buangannya lima tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2016 @ 5:01 PM