Kuala Lumpur: iProperty Group Ltd menjalin usaha sama dengan REA Group Ltd, pakar pengiklanan hartanah digital Australia, bagi menyediakan platform yang lebih luas untuk pembeli mencari rumah impian secara dalam talian.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) iProperty Groups Georg Chmiel berkata, usaha sama itu akan membolehkan laman web iProperty Groups di Malaysia, Indonesia, Hong Kong, Singapura, Filipina disalinghubungkan dengan laman REA Group di Itali, Luxembourg, Perancis dan Jerman.

“Laman web yang terangkai ini menawarkan peluang kepada bakal penyewa, pembeli hartanah dan pelabur, meneliti tiga juta rumah yang disenarai untuk dijual dan disewa menerusi rangkaian yang tersedia,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, pakatan itu adalah kejayaan penting untuk kumpulan berkenaan memandangkan ia meluaskan kehadiran pasarannya di Asia dengan cepat.

Sementara itu, CEO REA Group, Tracey Fellows berkata, kerjasama itu memberikan akses kepada pengguna di Australia, China dan Eropah kepada laman web iProperty di seluruh Asia, pasaran hartanah paling pesat berkembang di Asia.

REA Group memiliki 17.7 peratus saham dalam iProperty Group.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:06 AM