ANIRBAN (depan) membuat pukulan pada pusingan ketiga.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Sembilan birdie yang dilakukan bintang India Anirban Lahiri membolehkannya merampas kedudukan selaku pendahulu pada hari ketiga kejohanan golf CIMB Classic di TPC Kuala Lumpur, semalam.

Anirban yang pernah memenangi Terbuka Malaysia awal tahun lalu, mencatat tujuh bawah par 65 untuk keseluruhan 19 bawah par 197 selepas berakhir hari ketiga.

Pencapaian cemerlang itu membolehkan Anirban mendahului dengan kelebihan empat pukulan berbanding juara bertahan Justin Thomas dari Amerika Syarikat yang berkongsi kedudukan kedua bersama pemain Scotland, Russell Knox.

“Sangat berpuas hati dengan pencapaian hari ini (semalam) apabila menamatkan saingan dengan kedudukan sangat positif.

“Saya memang mahu kekal fokus sepanjang 18 lubang dan gembira dapat melakukannya.

“Saya beritahu kepada diri sendiri supaya melupakan segera bogey berganda yang dilakukan pada pertengahan saingan,” katanya merujuk kepada bogey berganda yang dilakukannya di lubang ke-12.

Untuk saingan terakhir hari ini, Anirban berkata, dia akan terus cuba untuk melakukan birdie.

“Saya tak fikir pencapaian hari ini (semalam) sudah selamat,” katanya.

Sementara itu, Thomas menganggap prestasinya sepanjang 13 lubang pertama sangat teruk apabila dia melakukan tiga bogey serta satu bogey berganda.

Pemain berusia 23 tahun itu hanya bangkit bermula di lubang ke-14 apabila mencatat lima birdie berturut-turut.

Dia menamatkan hari ketiga semalam dengan satu bawah par 71 untuk keseluruhan 15 bawah par 201.

“Saya tidak tahu Anirban melakukan sembilan birdie sehinggalah berakhir saingan.

“Dia beraksi dengan baik dan saya sedar agak sukar untuk mengejar kedudukannya. Apapun saya perlu terus bekerja keras esok (hari ini),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2016 @ 5:13 AM