Berkhidmat dengan PDRM selama lebih 38 tahun sebelum bersara pada 1993.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Tan Sri Henry Chin, 79, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, akibat strok hari ini.

Menurut anak keduanya, Melissa Vhin Sui Yee, 31, mendiang bapanya dimasukkan ke PPUM petang Jumaat lalu, untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada 6.04 pagi.

“Ketika ini, kami sekeluarga sedang menguruskan proses untuk membawa pulang mayat mendiang ke Kota Kinabalu, Sabah, melalui penerbangan 1.55 petang esok," katanya di sini, hari ini.

Melissa berkata bapanya tidak pernah mengalami masalah kesihatan sebelum ini dan datang ke ibu negara beberapa hari lalu, untuk menghadiri mesyuarat.

Mendiang yang meninggalkan isteri, Puan Sri Shirley Cheng Hua Chien, 72, serta sepasang anak lelaki dan perempuan, berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama lebih 38 tahun sebelum bersara pada 1993.

Selepas bersara, beliau aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan berkhidmat dalam Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta pernah menjadi Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan anggota Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2016 @ 9:30 PM