PEMAIN Pulau Pinang Mohd Fitri Omar (kanan) diasak pemain Terengganu Dhiyaulrahman Mohd Hasry (tengah), kelmarin.

Georgetown: “Tersingkir ke Liga Perdana adalah satu kekecewaan yang sukar untuk diluahkan apatah lagi kami sudah berusaha yang terbaik cuma nasib saja tidak menyebelahi,” kata ketua jurulatih Terengganu Mustaffa Kamal Abd Wahab.

Kekalahan 0-1 kepada Pulau Pinang dalam aksi terakhir Liga Super 2016 di Stadium Bandaraya malam kelmarin diterima dengan tangan terbuka dan tiada apa lagi yang mampu dilakukan apabila misi mencatat kemenangan dan kekal dalam saingan liga utama itu gagal disempurnakan.

Mustaffa Kamal berkata, segala perancangan awal dilakukan menepati kehendak apatah lagi mutu perlawanan tampak seimbang dengan beberapa percubaan dan serangan berbahaya kedua-dua pasukan yang berusaha mencari gol kemenangan.

Baginya, jaringan pemain Pulau Pinang Mohd Faizat Mohd Ghazli pada minit ke-89 benar-benar mengejutkan sedangkan serangan demi serangan pasukan bim
bingan Nenad Bacina berjaya diselamatkan ketua pasukan merangkap penjaga gol Mohd Sharbinee Allawee.

Katanya, dalam keghairahan pemain Terengganu men
cari gol dengan berusaha bermati-matian, sedikit kesilapan akhirnya menghukum skuad Penyu dan tewas dalam perlawanan dihadiri lebih 8,000 penonton itu.

“Gandingan pemain muda Terengganu seperti Muhd Radhi Md Yusoff, Mohd Haidir Suhaini dan Che Mohd Arif Che Kamaruddin amat dipuji kerana menunjukkan prestasi cemerlang dan kekalahan ini bukan penamat kerana masih ada peluang untuk membaiki semula tahun depan.

“Semua pemain sudah memberikan persembahan terbaik kerana kami bermati-matian hingga tamat perlawanan,” katanya.

Mustaffa Kamal berkata, peluang keemasan dimiliki Terengganu hadir beberapa kali dan terdapat dua atau tiga peluang terbaik untuk menjaringkan gol tetapi sikap pentingkan diri akhirnya menyebabkan mereka dihukum.

“Saya berbangga sebagai anak jati Terengganu yang mendidik anak tempatan, walaupun terpaksa akur dengan kekalahan ini dan menerimanya dengan reda. Saya tidak akan mengalah untuk terus menabur bakti untuk bola sepak Terengganu.

“Saya menyerahkan masa depan kepada pengurusan kerana jawatan saya sebagai ketua jurulatih berakhir sebaik saingan Liga Super berakhir. Saya seorang profesional dan sedia menerima keputusan dan inilah adat perlawanan ada menang dan kalah dan berjanji akan terus menabur bukti sehingga akhir hayat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 5:00 AM