Nazri Abu Bakar


Melaka: Melaka United Soccer Association (MUSA) bakal memberi imej baru kepada Melaka United Football Club (MUFC) sebagai sebahagian daripada langkah penstrukturan semula pasukan bola sepak itu.

Keputusan yang dibuat MUSA itu adalah antara beberapa aspek yang diambil kira pihak pengurusan dalam memastikan MUFC terus cemerlang pada saingan pentas liga tempatan dan antarabangsa.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron yang juga presiden MUSA pada Program Meraikan Pasukan Melaka United Juara Liga Perdana 2016 di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), semalam.

Mengulas lanjut perkara itu Idris berkata, ia juga selaras dengan spesifikasi ditetapkan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan usaha pihaknya menerokai penswastaan pengurusan bola sepak yang dilihat lebih efisyen.

Idris menyerahkan kepada kebijaksanaan pengurusan MUSA dalam menentukan hala tuju MUFC khasnya dalam menempuh cabaran lebih sengit pada pentas Liga Super musim depan.

“Visi saya amat jelas iaitu pasukan ini perlu terus cemerlang dan untuk itu, mereka harus bekerja keras dalam usaha memenangi salah satu piala menjadi rebutan musim depan, sama ada Piala FA, Piala Liga atau Liga Super.

“Mengenai barisan pemain pasukan Liga Super, saya serahkan kepada pihak pengurusan untuk tentukan kerana percaya dengan setiap perancangan mereka,” katanya.

Beliau berkata, pemain MUFC bakal menerima sagu hati RM2,500 setiap seorang atas kejayaan menjadi juara liga selain menunaikan Umrah ke Makkah dan mengadakan lawatan ke Old Trafford - stadium kebanggaan Manchester United.

Terdahulu Idris mengetuai barisan pengurusan, jurulatih dan pemain MUFC mengarak trofi Liga Perdana menaiki kenderaan pacuan empat roda sejauh kira-kira 13 kilometer bermula dari Dataran Sejarah Ayer Keroh melalui jalan utama Lebuh Ayer Keroh ke Dataran MBMB.

Bersempena program itu, pelbagai acara seperti zumba, bola jaring, soccer freestyle, dribbling ball, berbasikal, persembahan artis dan fun game disediakan kepada pengunjung yang hadir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 5:01 AM
PASUKAN Melaka United meraikan kejayaan muncul juara Liga Perdana di Stadium Hang Jebat.
PASUKAN Melaka United meraikan kejayaan muncul juara Liga Perdana di Stadium Hang Jebat.
Digital NSTP Subscribe