COUTINHO (kiri) meraikan jaringannya bersama Mane.

Liverpool: Sadio Mane dan Philippe Coutinho masing-masing menghadiahkan satu gol untuk memberikan kemenangan 2-1 Liverpool ke atas West Brom kelmarin namun Gareth McAuley menafikan peluang mereka untuk berada di puncak Liga Perdana Inggeris.

Skuad Merseyside itu memerlukan sekurang-kurangnya kemenangan dengan kelebihan dua gol di Anfield jika mahu berada di puncak liga bola sepak Inggeris buat kali pertama sejak Mei 2014.

Mereka berada di landasan tepat sehinggalah sembilan minit sebelum masa penamat apabila McAuley melakukan sepakan voli dari jarak dekat buat West Brom berikutan sepakan sudut Chris Brunt yang berjaya disambar Craig Dawson sebelum membuat hantaran kepadanya.

Keputusan itu bermakna Liverpool naik ke tangga kedua dengan Arsenal berada di puncak dengan perbezaan gol untuk tempoh sekurang-kurangnya 24 jam.

Bagaimanapun, Manchester City akan merampas kedudukan itu jika berjaya mengelak daripada tewas di tangan Southampton.

Kemenangan Liverpool sekurang-kurangnya membolehkan Jurgen Klopp menyambut ulang tahun pertamanya selaku jurulatih di Reds dengan kemenangan.

Skuad pengendali Jerman yang ceria itu mendahului 2-0 dalam tempoh 25 minit hasil jaringan berkualiti.

“Saya berpuas hati dengan persembahan mereka,” kata Klopp.

“Perlawanan menentang West Brom ternyata sukar. Anda perlu sentiasa tumpukan perhatian. Mereka sungguh berbahaya dengan percubaan set-piece.” -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 5:09 AM