Jakarta: Sebuah premis restoran makanan segera musnah dalam satu letupan yang berpunca daripada kebocoran tong gas di Jatimurni, Bekasi, Jawa Barat pada awal pagi semalam.

Letupan kuat itu menyebabkan dua mangsa cedera ringan dan merosakkan tiga lagi bangunan berhampiran.

Jurucakap polis Jakarta, Awi Setiyono berkata, kejadian berlaku apabila sebuah tong gas yang mengandungi gas petroleum cecair (LPG) seberat 50 kilogram meletup.

“Letupan kuat ini memusnahkan premis tiga tingkat menempatkan restoran Pizza Hut.

“Tiga lagi bangunan berhampiran termasuk sebuah pasar raya juga rosak teruk,” katanya.

Menurutnya, seorang penjual pisang goreng dan seorang kanak-kanak cedera tetapi keadaan mereka tidak parah.

Menurut saksi, kejadian berlaku kira-kira jam 7.20 pagi (waktu tempatan) ketika restoran itu belum dibuka.

“Ketika kejadian tiada pekerja dan pelanggan berada di premis ini.

“Pihak berkuasa sudah mula menyiasat punca letupan,” jelasnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 5:12 AM