PELBAGAI aktiviti sukaneka diadakan dalam lawatan anjuran IPGKTB Bukit Mertajam.
PELBAGAI aktiviti sukaneka diadakan dalam lawatan anjuran IPGKTB Bukit Mertajam.
SISWA dari IPGKTB, Bukit Mertajam bergambar kenangan bersama murid dan guru SKPKP Georgetown.
SISWA dari IPGKTB, Bukit Mertajam bergambar kenangan bersama murid dan guru SKPKP Georgetown.
Muhammad Shalaby Shahbuddin


Bagi membuka minda dan persepsi terhadap kanak-kanak berkeperluan khas, siswa Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun (IPGKTB) Bukit Mertajam meluangkan masa kira-kira lapan jam melawat murid Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Persekutuan (SKPKP) Georgetown, baru-baru ini.

Pensyarah Cemerlang IPGKTB Zakariah Abd Ghani berkata, program julung kali itu dianjurkan Jabatan Ilmu Pendidikan di institusi pendidikan berkenaan membabitkan Pendidik Tahun 1 daripada Kelas Pengajian Melayu dan Pengajian Cina.

Beliau berkata, seramai 43 siswa berpeluang mendapat pendedahan mengenai proses pembelajaran kanak-kanak pendidikan khas masalah pendengaran dan menyelami cara mendidik golongan berkenaan.

“Mereka memperoleh pendedahan mengenai perkembangan kanak-kanak berkeperluan pendidikan khas selain membuka minda serta persepsi terhadap golongan terbabit.

“Nilai kasih sayang sesama murid dapat dipupuk melalui komunikasi menggunakan isyarat tangan selain membentuk keyakinan buat siswazah melalui aktiviti sosial bersesuaian,” katanya.

Zakariah berkata, teknik bahasa isyarat secara ringkas dan minimum dapat dipraktik serta dipelajari selain berpeluang memerhatikan kaedah pengurusan bilik darjah daripada guru pendidikan khas yang berpengalaman.

Sementara itu, wakil siswa, Hamiza Hanim, 20, berkata pihaknya berpuas hati apabila segala aktiviti dirancang berjalan lancar dan mendapat kerjasama daripada murid serta guru sekolah berkenaan.

Katanya, walaupun mengalami masalah pendengaran, mereka mudah memahami arahan untuk melakukan aktiviti sukaneka mengikut peraturan permainan.

“Pelbagai aktiviti sukaneka diadakan seperti membawa bola ping pong dalam sudu yang diletakkan dalam mulut, menggelek bola menggunakan gelung, mengisi air dalam botol dan membaling pundi kacang dalam gelung.

“Kami menggunakan duit kutipan sendiri bagi membeli hadiah dan hamper untuk diberikan kepada pemenang mengikut kategori kumpulan paling ceria, sporting dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SKPKP Jamaiah Mahli berkata, 38 muridnya terbabit dalam program lawatan berkenaan bermula daripada prasekolah hingga tahun 6 yang mengalami masalah pendengaran.

Beliau berkata, lawatan itu berjaya membentuk jalinan mesra selain mendedahkan bakal guru dengan murid pendidikan khas.

“Perbezaan murid pendidikan khas dengan murid normal tidak begitu ketara kerana ia turut meliputi subjek sama dengan aliran perdana.

“Selain itu, sekolah ini mempunyai sembilan kelas dengan perbezaannya dalam sebuah kelas minimum lima murid dan maksimum tujuh murid,” katanya.

Menurutnya, murid di sekolah itu lebih menumpukan kepada isyarat tangan dan gerakan bibir guru yang mengajar, sekali gus lawatan itu memberikan kesedaran orang ramai bahawa setiap guru sekolah pendidikan khas memerlukan kemahiran sedemikian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 11:11 AM