Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu menahan seramai 192 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam dua Ops Bersepadu di daerah ini dan Kemaman semalam.

Dalam operasi bermula jam 8.30 pagi hingga 7 malam itu, seramai 327 pekerja warga asing diperiksa sebelum 192 daripada mereka ditahan termasuk dua orang wanita kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.


ANTARA warga asing yang ditahan dalam Ops Bersepadu di Hulu Terengganu dan Kemaman semalam. FOTO Aslina Abu Bakar

Ketua Bahagian Penguatkuasa JIM Terengganu Mohd Muda berkata, operasi pertama dilakukan di tapak pembinaan di Kuala Berang

kira-kira jam 11 pagi dan menahan seramai 35 PATI.

"Operasi kedua pula diteruskan di sebuah kilang memproses bahan kimia di Kemaman kira-kira jam 4 petang yang mana seramai 157 daripada 250 orang yang diperiksa ditahan.

"PATI yang ditahan membabitkan warga negara Myanmar, Bangladesh, Indonesia, Pakistan, India, Filipina dan Jepun berumur antara 18 hingga 62 tahun.

"Semua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen sah, Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini melebihi tempoh yang ditetapkan dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan yang diberikan," katanya.

Menurutnya, operasi berkenaan membabitkan 60 pegawai dan anggota terdiri daripada JIM Terengganu bersama Kelantan dan Pahang serta dibantu Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 9:33 AM
ANTARA warga asing yang ditahan dalam Ops Bersepadu di Hulu Terengganu dan Kemaman semalam. FOTO Aslina Abu Bakar