ZULKAFLI (tujuh dari kanan) dan Munir (lapan dari kanan) bersama pengurusan Jabatan Perikanan dan media.
WAKIL media dan pengurusan DOF ketika berhenti di Perlis.
Mohamad Hussin


Penjenamaan semula antara elemen dan proses bagi memperkukuhkan persepsi pengguna terhadap produk dan perkhidmatan Jabatan Perikanan (DOF).

Ia penting bagi memperluaskan pemasaran produk dan perkhidmatan, seterusnya memperkukuhkan peranan dan fungsi jabatan itu dalam industri perikanan negara.

Ini bagi memastikan ia terus relevan selaras dengan kemajuan dan isu dihadapi dalam industri perikanan tempatan, serantau dan global yang sangat dinamik.

Sehubungan itu, DOF menganjurkan Program myDOF Media Tour 2016 supaya dapat memberi liputan secara fokus kepada aktiviti berimpak tinggi yang menonjolkan pembabitan DOF secara keseluruhannya.

Secara langsung, program itu dapat mempromosikan aktiviti dan projek yang sedang atau sudah dilaksanakan DOF bersama golongan sasar terdiri daripada penternak ikan, nelayan setempat, pengusaha industri asas tani (IAT) dan aktiviti penyelidikan perikanan serta pemindahan teknologi.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pembangunan) Zulkafli Abd Rashid berkata, Program myDOF Media Tour 2016 antara aktiviti peningkatan imej korporat yang dirancang Unit Komunikasi Korporat (UKK) DOF.

Beliau berkata, program itu susulan penganjuran Kembara Media Perikanan selama tiga siri sebelum ini.

“Ia antara aktiviti penjenamaan semula DOF supaya kekal ‘keterlihatan’ di mata kumpulan sasar. Melalui tema program iaitu Peneraju Perikanan, kami menyasarkan untuk mencapai beberapa objektif utama.

“Antaranya, memperlihat serta meningkatkan visibiliti aktiviti serta projek dilaksanakan DOF dan mewujudkan hubungan dua hala yang kukuh di antara jabatan dengan media massa serta golongan sasar.

“Meningkatkan kredibiliti dan mengukuhkan kepercayaan serta keyakinan awam dan golongan sasar terhadap perkhidmatan DOF,” katanya selepas merasmikan Program myDOF Media Tour 2016 di Putrajaya, baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Bahagian Perancangan dan Pembangunan DOF merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Program myDOF Media Tour 2016 Munir Mohd Nawi dan Ketua UKK DOF Yazeereen Abu Bakar.

Program 12 hari 11 malam itu bermula 7 Oktober lalu sehingga majlis penutup di Mukah, Sarawak, membabitkan 23 lokasi di seluruh Malaysia.

Zulkafli berkata, program ini juga memperkasa sistem penyampaian DOF serta menumpukan kepada perkhidmatan, aktiviti dan program yang memberi impak besar kepada kumpulan sasar dan pembangunan industri perikanan negara untuk mencapai sasaran pengeluaran perikanan negara sebanyak 3.02 juta tan metrik pada tahun 2020.

“Selain itu, mengetengahkan peranan DOF memperluaskan produk perikanan baru dan sedia ada di pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Pihak media dapat melihat hasil pembangunan yang dijalankan kerajaan di negeri dilawati, seterusnya membantu menyebarkan perkembangan berkenaan kepada golongan sasar dan masyarakat,” katanya.

Menurutnya, program itu dapat memberikan imej positif kepada DOF selain mendedahkan kepada orang ramai mengenai program pembangunan dan aktiviti penyelidikan yang dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 10:29 AM