JULIANNA (enam dari kiri) menyerahkan bantuan tong gas kepada beberapa rumah perlindungan di sekitar Kuala Lumpur.
SUKARELAWAN NGC Energy (kiri) membantu kakitangan Persatuan Khidmat Sokongan AIDS Kuala Lumpur memasang rak di Faith Helping Centre.
Nor Faizah Mohamed


Tempat tinggal, makanan, pendidikan dan perubatan ialah antara perkara asas yang diperlukan manusia.

Namun, tidak semua bernasib baik mendapat keperluan itu terutama apabila dilanda masalah dan penyakit hingga menyukarkan diri untuk menikmati perkara asas itu.

Justeru dalam usaha berterusan membantu mereka yang hidup dengan HIV dan AIDS di negara ini, NGC Energy MiraGas kini tampil sebagai antara badan korporat yang menghulurkan sumbangan tong gas kepada lebih 10 rumah kebajikan beroperasi di sekitar Lembah Klang.

Kerjasama antara NGC Energy Sdn Bhd dengan Yayasan AIDS Malaysia serta Majlis AIDS Malaysia ini menyaksikan lebih 1,000 tong gas MiraGas LPG diberikan bagi membantu lebih 367 lelaki, wanita serta kanak-kanak yang hidup dalam HIV juga AIDS.

“Kami menyasarkan bukan saja untuk memenuhi kehendak pengguna tapi menambah baik kehidupan keluarga dan komuniti yang memerlukan menerusi usaha sama seperti ini.

“Kerjasama dengan Yayasan AIDS Malaysia dan Majlis AIDS Malaysia ini membolehkan kami membantu usaha penambahbaikan itu dan meringankan bebanan keluarga serta komuniti terbabit.

“Tajaan tong gas MiraGas LPG ini juga adalah simbol kepada komitmen kami dalam program komuniti, di samping memberi aspirasi kepada perubahan positif dalam kalangan masyarakat, sekali gus mengetepikan impak negatif terhadap mereka yang hidup dengan HIV serta AIDS ini,” kata Pengurus Besar NGC Energy, Julianna Kamaruddin.

Rumah perlindungan dan program sukarelawan komuniti, Faith Helping Centre yang dikendalikan Persatuan Khidmat Sokongan AIDS Kuala Lumpur menerima tajaan tahun ini.

Mula beroperasi pada 1994, Faith Helping Centre menawarkan perlindungan sementara untuk lelaki yang dipinggirkan keluarga kerana HIV.

Melalui pendekatan sokongan rakan sebaya, khidmat yang ditawarkan di rumah perlindungan itu termasuk penjagaan asas, kaunseling, kesihatan, pendidikan dan kebajikan bagi membantu penghuninya menjalani kehidupan yang lebih berkualiti.

Selain itu, Rumah Solehan dan Rumah WAKE turut tersenarai sebagai penerima.

“Projek bersama NGC Energy ini asalnya bermula dengan enam rumah perlindungan pada 2010 namun kini merangkumi program di seluruh negara.

“Kerjasama dan tindak balas korporat seperti yang ditunjukkan NGC Energy ini antara contoh perkongsian multi-sektor strategik untuk meningkatkan lagi kualiti kehidupan mereka yang hidup dengan HIV dan AIDS ini.

“NGC Energy Sdn Bhd sebagai rakan kongsi yang progresif juga diharap dapat meningkatkan lagi usaha menghapuskan stigma dan diskriminasi terhadap mereka,” ujar Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia, Prof Dr Adeeba Kamarulzaman.

Program tajaan gas memasak ini dapat mengurangkan perbelanjaan di rumah kebajikan terbabit lalu wang itu disalurkan untuk perkara lain seperti rawatan dan tempat tinggal yang lebih kondusif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 11:17 AM