HARI Budaya Jepun di Muzium Negara dianjurkan bagi meraikan lebih 50 sukarelawan Jepun yang bertugas di muzium itu.
JUNKO
TARIAN Bon Odori sebagai simbolik kepada keraian musim panas dan musim menuai.
PENAMPILAN comel ibu dan anak yang menggayakan kimono.
SENI bela diri iaido mengguna pakai falsafah samurai merangkumi Shintoisme, Confucianisme, Buddhisme dan Zen.
SEBAHAGIAN seni lukisan Jepun yang dijual di ruang bazar antarabangsa.
ANTARA kimono yang dipamerkan dan boleh dicuba oleh pengunjung.
TIDAK ketinggalan kimono comel untuk si kecil.
Nor Faizah Mohamed


‘Hajimemashite’ dan ‘konnichiwa’ saling kedengaran sebagai tanda sambutan kepada pengunjung. Bauan segar teh hijau dan haruman sakura pula seakan-akan magnet menarik kaki untuk terus menerokai apa yang ada di sekitarnya.

Nyata sapaan ceria sekumpulan wanita Jepun lengkap berpakaian kimono ketika pesta musim panas Bon Odori yang berlangsung di Muzium Negara, baru-baru ini, berjaya membuatkan penulis leka menghabiskan masa seharian di sana.

Meskipun ia berskala kecil berbanding sambutan Bon Odori tahunan yang lazim diadakan di Shah Alam, pesta budaya ini tidak kurang meriahnya.

Buat pertama kalinya Muzium Negara membuka ruang kepada bangsa asing memperkenalkan pesta budaya mereka yang diadakan di ruang utama muzium.

Ini berikutan wujudnya kumpulan sukarelawan Jepun yang membantu pelancong asing khususnya dari negara matahari terbit itu mengenali Malaysia kala berkunjung ke Muzium Negara.

Jelas Ketua Koordinator Hari Budaya Jepun Sukarelawan Muzium 2016 ini, Junko Hayamizu, pesta yang julung kali diadakan ini salah satu usaha Muzium Negara mempelbagaikan aktiviti budaya bagi menarik minat pelbagai golongan.

“Tidak ramai generasi hari ini gemar ke muzium malah ada yang langsung tidak tahu apa yang ada di muzium.

“Objektif penganjurannya adalah untuk meraikan lebih 50 sukarelawan Jepun yang berkhidmat di Muzium Negara, di samping meningkatkan kefahaman pengunjung mengenai budaya masyarakat Jepun.

“Pada masa sama, Hari Budaya ini dilihat sebagai platform mudah untuk menarik pelbagai golongan khususnya generasi muda ke muzium.

“Ia bukan acara tipikal budaya yang sering dianggap membosankan tetapi pesta budaya Jepun ini penuh meriah dengan pelbagai aktiviti seperti permainan, tarian, persembahan seni mempertahankan diri dan bazar jualan.

“Disebabkan ia berlangsung seiring dengan musim panas di Jepun, acara ini juga menjadi medan kepada masyarakat tempatan yang meminati budaya Jepun untuk menyambut pesta Bon Odori iaitu festival musim panas bersama kami di muzium ini,” katanya.

Iaido dan yukata

Antara aktiviti yang menjadi tumpuan pengunjung ke Hari Budaya Jepun Sukarelawan Muzium 2016 ini ialah demonstrasi pakaian kimono, persembahan seni bela diri iaido dan tarian Bon Odori.

Seawal jam 10 pagi, pengunjung beratur bagi mencuba menyarungkan kimono pelbagai warna sambil dibantu sukarelawan, di samping mendapatkan maklumat mengenai helaian tradisional Jepun itu.

Wujud pelbagai jenis kimono bagi menepati keperluan majlis dan keadaan cuaca. Kimono dikenal pasti mula digunakan oleh masyarakat Jepun pada 1,300 tahun lalu.

Rekaan, warna dan bentuknya pula berbeza antara satu sama lain bagi menentukan kedudukan, pangkat atau keistimewaan keluarga seseorang itu.

Kimono moden bagaimanapun lebih kepada penggayaan trend terkini, selain digunakan untuk majlis rasmi.

Untuk acara formal, kimono jenis tomesode dan furisode menjadi pilihan, manakala kimono tsukesage, homongi serta iro-tomesode lebih kepada aktiviti kasual.

Untuk musim panas, kimono jenis yukata lebih sesuai digayakan kerana fabriknya daripada kapas atau sintetik tanpa lapisan.

Yukata juga banyak digunakan dalam persembahan tarian kerana ia ringan dan mudah dipakai.

Kata Junko, pertunjukan dan demonstrasi pemakaian kimono ini berjaya menarik minat pengunjung bagi mendalami serta mempelajari ilmu mengenainya.

“Pakaian tradisional ialah lambang atau simbol utama kepada setiap budaya. Masyarakat Jepun bangga dengan kimono dan ia secara tidak langsung menjadi duta kepada budaya Jepun.

“Bagaimanapun, ramai yang tidak tahu sejarah dan cara pemakaiannya yang betul. Di sinilah perlunya kami sertakan aktiviti seperti itu sebagai salah satu pengisian ilmu untuk sambutan Hari Budaya ini,” katanya.

Selain itu, persembahan seni bela diri iaido turut mencuri tumpuan pengunjung. Berbanding seni bela diri Jepun yang lain seperti kendo dan aikido, iaido ialah salah satu cabang seni bela diri kenjutsu.

Iaido lebih tenang dengan gerakan minimum yang banyak menggunakan pedang. Seni bela diri ini diperkenalkan pada abad ke-15 untuk mengekang serangan musuh secara mengejut.

Iaido juga bertindak sebagai gerakan libasan musuh dengan hanya satu hayunan pedang selepas pergerakan lawan dikenal pasti.

Hanya pedang katana digunakan untuk seni bela diri ini dan ia mengguna pakai falsafah samurai merangkumi Shintoisme, Confucianisme, Buddhisme dan Zen.

Acara diteruskan sehingga ke petang apabila tarian Bon Odori dipersembahkan.

Bon Odori merujuk kepada ‘odori’ bermaksud tarian yang diadakan untuk meraikan roh ahli keluarga yang sudah meninggal dunia dikenali sebagai ‘bon’.

Tarian ini sebagai simbolik kepada menggembirakan roh si mati sebelum menghantarnya semula ke syurga.

Namun pada era ini, tarian Bon Odori lebih kepada keraian pesta musim panas dan tidak ramai yang menjadikannya sebagai ritual untuk si mati.

Tarian Bon Odori zaman ini juga lebih meriah dengan gerakan moden, namun ia masih mengekalkan gerakan asas tradisional pada beberapa bahagian.

Selain itu, Bon Odori versi moden menjadi pesta meraikan musim menuai dan pakaiannya lebih nipis bagi menyesuaikan diri dengan cuaca panas berbahang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 11:30 AM