Anggota tentera tiba di pusat latihan dan mangsa yang cedera dibawa keluar. - Foto Agensi
AFP

Quetta, Pakistan: Militan yang lengkap bersenjata dan memakai jaket kalis peluru menyerang akademi polis Pakistan di sini, membunuh sekurang-kurangnya 59 orang dan lebih 100 lagi cedera,

Serangan terhadap Kolej Polis Balochistan itu terletak 20 kilometer di timur Quetta, bandar utama Wilayah Balochistan, bermula kira-kira 11:05 malam waktu tempatan. Kolej itu mempunyai sehingga 700 pelatih dan kakitangan dengan kira-kira 200 jadikan tebusan.

Menteri Dalam Negeri Balochistan, Mir Sarfaraz Ahmed Bugti, berkata tiga militan dari kumpulan yang ada kaitan dengan Taliban, mati ketika operasi serangan balas pasukan keselamatan selama empat jam.

Pertempuran antara militan dengan komando berlangsung selama beberapa jam dengan tembakan tidak berhenti sebelum beberapa letupan kedengaran.

“Seorang militan mati ditembak pasukan keselamatan manakala dua lagi meletupkan jaket mereka yang berisi bom berdekatan tebusan apabila di kepung komando yang menjadi punca jumlah korban tinggi,” kata Mir Sarfaraz.

Jurucakap tentera, Mejar Jeneral Sher Afgun, berkata operasi membebaskan kolej itu sudah selesai dan pihaknya sedang melakukan operasi pembersihan.

Tiga penyerang itu menyerbu masuk berek pelatih sambil melepaskan tembakan menyebabkan mereka bertempiaran lari.

“Saya nampak tiga lelaki berpakaian celoreng dan bertopeng, membawa raifal Kalashnikovs. Mereka melepaskan tembakan sebaik memasuki berek namun saya berjaya melepaskan diri,” kata seorang pelatih.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 2:07 PM