HAMPIR putus asa teruskan kerjaya lakonan apabila ada pihak cuba ambil kesempatan.

Najiy Jefri

[email protected]

Pendatang baru, Amy Juliet pernah hampir berputus asa untuk meneruskan kerjaya lakonan. Mana tidaknya, ketika mahu mencuba nasib sebagai pelakon kira-kira tiga tahun lalu, ada saja dugaan dan rintangan yang perlu dihadapi sehingga membuatkannya berasa begitu ‘murah’ andai bersetuju menerima pelawaan untuk berlakon drama.

Kata Amy, ketika masih ‘hijau’ dalam industri seni hiburan, dia seakan-akan tidak percaya apabila ada pihak sanggup mengambil kesempatan terhadapnya sebelum bersetuju mengambilnya berlakon.

“Saya bermula sebagai pelakon tambahan. Sejak kecil saya bercita-cita nak jadi pelakon. Disebabkan itu, saya nekad dan tidak kisah untuk bermula daripada bawah. Bagaimanapun, ketika saya teruja mencuba nasib dalam bidang ini, saya diuji dengan pelbagai dugaan apabila sering ditolak untuk terbabit dalam beberapa drama selepas pergi ke sesi uji bakat yang dijalankan pihak produksi.

“Lebih mengejutkan, saya pernah menerima panggilan daripada seseorang yang menawarkan saya berlakon tetapi mempunyai agenda buruk sehingga saya berasa malas dan mahu lupakan terus hasrat untuk berlakon,” katanya.

Tambah Amy, akibat daripada kejadian yang berlaku, dia pernah terfikir untuk membuka syarikat produksi .

“Saya suka berangan kalaulah saya kaya, saya mahu membuka rumah produksi sendiri supaya tiada yang berani ambil kesempatan. Bagaimanapun, untuk memulakan perniagaan memerlukan kos tinggi selain perlu ada pengalaman yang luas dalam bidang ini.

“Namun saya sedar, perkara sebegini bukan berlaku terhadap diri saya seorang, malah turut berlaku kepada pelakon wanita lain. Cuma bezanya mereka mahu atau tidak saja untuk mengambil jalan mudah itu,” katanya.

Namun, siapa sangka demi minat yang mendalam, pelakon yang muncul dalam filem pertamanya berjudul Rock Bro! ini bangkit kembali demi mengejar impian dalam bidang seni tanah air.

Ungkap Amy, sejak dirinya diberi peluang memegang watak utama drama di RTM dua tahun lalu, dia tidak lagi melalui episod hitam itu sebaliknya rezeki dalam bidang lakonan semakin terbuka luas.

“Alhamdulillah, tawaran demi tawaran datang sejak saya terbabit dalam beberapa drama di RTM. Terbaru saya bakal membintangi filem arahan Mamat Khalid berjudul Rock Bro! selepas menjalani sesi uji bakat dan diterima membawa watak Ella,” katanya yang mula dikenali umum menerusi drama bersiri Menanti Awam.

Bercerita lanjut mengenai watak Ella, Amy menganggap tawaran melakonkan watak utama dalam filem yang bakal ditayangkan pada 27 Oktober ini ibarat bulan jatuh ke riba.

Amy atau nama sebenarnya, Roziana mengakui berasa dirinya kerdil apabila dipilih menghidupkan watak Ella dalam filem itu.

“Ketika diberitahu saya terpilih untuk membawakan watak Ella, saya tidak senang duduk kerana bimbang tidak mampu membawakan karakter itu dengan baik. Sepanjang sebulan menjalani penggambaran, hampir setiap hari saya mengkaji sikap dan cara percakapan serta berjalan Ella di YouTube bagi memastikan karakternya meresap dalam jiwa,” katanya.

Amy juga bersyukur kerana pelakon lain membantunya sepanjang penggambaran itu dijalankan.

“Abang Khir Rahman banyak membantu saya supaya tidak kekok menjayakan babak bercinta. Selain itu, saya sangat berterima kasih kepada bekas pembantu peribadi Ella, Abang Bombey yang sentiasa berada di set untuk menolong saya menjiwai karakter Ella,” katanya.

Bagaimanapun pelakon berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki.

Selain itu, Amy turut menyumbangkan suara untuk beberapa lagu dalam filem Rock Bro. Filem terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd itu turut menampilkan Pekin Ibrahim, Soffi Jikan, Datuk Hattan dan Jihan Muse.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 1:30 PM