JAM2016 menampilkan konsep baru joget.
Nor Akmar Samudin


Budaya lama tetap menjadi kebanggaan masyarakat Melayu. Lantaran itu walaupun sekarang negara dan masyarakat kita semakin dicemari budaya luar, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan kerajaan negeri Melaka terus berusaha mempertahankan tarian tradisional yang menjadi kebanggaan masyarakat Melaka iaitu joget lambak.

Sehubungan itu, tiga badan kerajaan ini sepakat menganjurkan [email protected] 2016 (JAM2016) selama dua hari di pekarangan bangunan bersejarah Kota A Famosa, Bandar Hilir, Melaka, baru-baru ini.

Ketua Pengarah JKKN, Tan Sri Norliza Rofli berkata, mengambil kira latar belakang tarian joget dan sinonimnya dengan Melaka, maka JKKN selaku pengelola mengambil inisiatif untuk membawakan JAM2016 dalam satu konsep baru dan diolah menjadikan pelbagai versi joget dari segi rentak, gerak dan lagu.

“Kota A Famosa menjadi saksi utama JAM2016 dengan menghimpunkan 235 orang peserta pelbagai kaum dan variasi joget seluruh Malaysia yang dibahagikan mengikut lima segmen iaitu Langkah Joget, Harmoni Joget, Tamu Joget, Ritma Joget dan Riuh Joget (Joget Lambak).

“JKKN mengetengahkan konsep persembahan Majlis Persandingan Melayu Melaka yang terkenal dengan kemeriahan bunga api pengantin dan perarakan pengantin,” katanya.

Menurutnya, program yang berlangsung selama dua jam itu juga bertujuan merapatkan hubungan muhibah, menjalinkan kemesraan di samping merakyatkan aktiviti seni budaya kepada komuniti setempat.

“Apa yang lebih penting mengajak semua kelompok masyarakat dan peserta untuk sama-sama menghargai seni budaya tradisi. Acara ini turut memberi signifikan besar dalam perkembangan seni persembahan khususnya untuk rakyat memandangkan joget sudah mendapat penerimaan masyarakat pelbagai kaum,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 1:46 PM