Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi Janna Nick membatalkan hasrat untuk menarik diri daripada saingan separuh akhir Muzik Muzik 31 pada 4 November ini selepas dipujuk komposer dan penulis lirik lagu nyanyiannya Mungkin Saja iaitu Kunci Demak.

Janna, 21, ketika dihubungi berkata, dia berhasrat untuk menarik diri kerana merasakan dirinya kurang kemampuan sebagai penyanyi.

“Saya terbabit dalam bidang nyanyian hanya suka-suka dan bukan untuk bertanding. Saya tak pernah menyimpan cita-cita untuk bersaing atau sebaris dengan penyanyi handalan sedia ada. Dalam erti kata lain, saya masih sedar diri.

"Saya sedar kemampuan dan kualiti vokal saya, malah apabila muncul dengan single ini saya tahu di mana kedudukan saya. Jadi saya tak kisah sekiranya kalah dalam bidang muzik," katanya kepada Harian Metro.

Janna yang juga pelakon drama Kau Aku Kita berkata, selain dipujuk Kunci Demak, dia membatalkan hasratnya itu apabila mengenangkan lagu itu ciptaan orang lain dan dia tidak boleh mementingkan diri sendiri.

Kenyataan Janna ini juga sekali gus menafikan dia tidak boleh menyanyi secara langsung sehingga timbulnya hasrat untuk menarik diri.

"Saya selalu menyanyi secara langsung. Ketika merakamkan lagu Mungkin Saja ia menggunakan suara asli saya dan bukannya ‘auto tune’," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 11:28 PM