MOHD Asri pada Seminar Labur Saham Mega 2016.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Asri Ahmad Academy Sdn Bhd dan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menganjurkan Seminar Labur Saham Mega 2016 secara percuma membabitkan lebih 1,200 peserta bagi mendedahkan Bumiputera dalam pelaburan saham.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Asri Ahmad berkata, bilangan Bumiputera yang terbabit secara langsung dalam pelaburan saham masih rendah sekitar 22 peratus daripada 5 juta pemegang akaun CDS (akaun pelaburan saham) di Malaysia dan seminar itu membuka peluang kepada peserta untuk mendalami bidang itu.

“Kami mahu mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap pelaburan saham dengan mendedahkan mereka ilmu dan maklumat sebenar serta ia boleh dimulakan dengan modal minimum RM100 sahaja,” katanya.

Tujuan utama seminar bagi mendedahkan bagaimana meraih pendapatan yang lebih tinggi melalui pelaburan saham yang sah, selamat dan mudah di Bursa Malaysia serta pengenalan Bursa Malaysia-i iaitu platform sekuriti Islam bersepadu pertama di dunia yang menyediakan pelaburan patuh syariah.

Katanya, penerangan juga dilakukan bagaimana memilih saham-saham serta strategi bagi memaksimumkan keuntungan dan sesuai dengan konsep Saham dan Zakat, PPZ-MAIWP juga berkongsi maklumat tanggungjawab menunaikan zakat kepada peserta.

Sehingga kini terdapat 669 syarikat patuh syariah didagangkan di Bursa Malaysia yang diselia oleh panel Suruhanjaya Sekuriti Malaysia boleh dipilih oleh pelabur dengan permodalan pasaran mencecah RM1.1 trilion.

“Ramai masyarakat belum mengetahui mengenai pelaburan dan lubuk emas ini kerana lebih berminat dalam pelaburan yang tidak sah untuk pulangan yang cepat akhirnya mengalami kerugian,” katanya.

Pihaknya akan mengadakan seminar di tujuh lokasi lain di seluruh Malaysia iaitu di Kuching (23 Oktober), Alor Setar (4 November), Pulau Pinang (5 November), Kuantan (10 November), Kota Bharu (11 November) dan berakhir di Kuala Terengganu pada 12 November 2016.

Ia mendapat kerjasama daripada Bursa Malaysia, BIMB Securities Sdn Bhd, 9 Equity Wealth Creations Sdn Bhd, Koperasi Remisier Bumiputera Berhad dan Malaysian Association of Technical Analyst.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 7:32 AM