ANTARA babak dalam Bedah Motor.
SHUHAIMI (kanan) memastikan penggambaran berjalan lancar.
Nor Akmar Samudin


Tajuk asal telefilem ini ialah Cik Celah Bedah tetapi terpaksa ditukar kepada Bedah Motor atas saranan Lembaga Penapisan Filem (LPF) supaya tiada pihak tersalah tafsir mengenainya.

Bagaimanapun, pertukaran tajuk telefilem itu tidak membimbangkan pengarahnya, Shuhaimi Lua Abdullah kerana jalan ceritanya kekal seperti asal.

“Saya akur kehendak LPF kerana mereka mahu saya menukar judulnya saja kerana bimbang boleh mencetuskan kontroversi.

“Selain itu mereka berpuas hati dengan jalan ceritanya yang tiada langsung unsur lucah kerana Bedah Motor mengisahkan seorang graduan pusat pengajian tinggi yang ingin memulakan hidup di ibu kota dengan menjalankan perniagaan penghantaran makanan menggunakan motosikal,” katanya.

Sebagaimana karya Shuhaimi yang terdahulu, pasti setiap satunya ada cabaran tersendiri dan sama juga dengan pengarahannya kali ini.

Jalan cerita Bedah Motor berunsurkan komedi tetapi barisan pelakon yang menunjangi telefilem ini bukan pelawak. Lantaran itu ia menguji kemampuan Shuhaimi untuk membentuk watak yang dimainkan Nonny Nadirah, Ruhainies, Sharifah Shahora, Lia Natalia, Niezam Zaidi dan Neera Azizi untuk menghidupkan watak masing-masing.

“Pada awalnya amat sukar untuk membentuk watak mereka mengikut kehendak skrip, tetapi berdasarkan pengalaman dan bersandarkan kreativiti yang ada saya berusaha mencungkil watak serta bakat komedi yang terlindung dalam diri mereka.

“Bagaimanapun, untuk menonjolkan watak itu supaya kelihatan semula jadi, saya mahu mereka menampilkan watak yang mereka fahami. Saya tetap memberi ruang kepada pelakon membawakan watak dengan gaya tersendiri mengikut kefahaman mereka selepas membaca skrip,”katanya.

Shuhaimi berkata, tidak sukar untuk dia membentuk watak yang dibawa Niezam kerana dia pernah berlakon drama komedi sebelum ini.

Selain itu, pelakon itu juga pernah berlakon di bawah arahan Shuhaimi dalam telefilem Rajuk.

Bagi pelakon Nonny pula, ini lakonan sulungnya dengan Shuhaimi.

Shuhaimi berkata, pada mulanya Nonny agak kekok, jadi mereka banyak berbincang untuk mengatasi perkara itu.

Ruhanies pula pada pandangan Shuhaimi, seorang pelakon muda berbakat besar dan biasa bekerja dengannya dalam drama arahannya sebelum ini.

“Dia faham cara pengarahan saya. Lakonan pelakon lain seperti Lia Natalia dan Neera Azizi juga tidak mengecewakan saya,” katanya.

Bedah Motor akan ditayangkan di slot Skrin d9 (TV9), Isnin ini, jam 8.30 malam.

Sinopsis

Walaupun memiliki ijazah, ia belum tentu menjanjikan masa depan cemerlang.

Sehubungan itu, Zubaidah atau mesra disapa Bedah serta mendapat jolokan Cik Celah Bedah kerana kepakarannya menunggang motosikal di celah kesibukan jalan raya berniaga sendiri sebagai penghantar makanan ke pejabat.

Bedah memasak sendiri dan daripada sekadar mahu mencuba akhirnya dia mula seronok dengan perniagaannya itu apabila pelanggannya semakin bertambah.

Pada suatu hari, motosikalnya dilanggar sebuah kereta dipandu pemuda kacak bernama Amir.

Bedah yang berperwatakan tomboi bergaduh dengan Amir menyebabkan kesesakan jalan raya. Bedah mahu Amir membayar ganti rugi motosikal dan makanan yang rosak.

Daripada nak marah, timbul perasaan kasihan Amir terhadap Bedah. Dalam proses Amir mahu membayar ganti rugi Bedah, lelaki itu mula menyukainya. Bagaimanapun, Amir hampir bertunang dengan Azura.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 10:28 AM