Bangunan induk HSA. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Bangunan induk HSA. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi penilaian semula bangunan induk Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, yang menempatkan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) yang terbakar, kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Ibrahim Omar berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kebakaran yang berlangsung pagi tadi antara pihak bomba dengan pengurusan HSA.

Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan akan diketuai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan beberapa lagi agensi keselamatan berkaitan yang dipilih sendiri pihak kementerian.

"Selepas selesai siasatan kebakaran dijangka petang ini, bangunan (wad ICU) ini akan diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan seterusnya.

"Pihak hospital akan menubuhkan jawatankuasa yang terdiri daripada hospital sendiri, KKM bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan akan membuat penilaian semula pada bangunan ini," katanya ketika ditemui di perkarangan bagunan induk HSA selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kebakaran, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, sama ada kawasan sekitar bangunan berkenaan selamat atau tidak untuk digunakan adalah di luar bidang kuasa pihak bomba kerana mereka kini hanya menjalankan siasatan di lokasi kebakaran sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 12:57 PM