KEADAAN bangunan induk Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Pesakit yang memerlukan rawatan bagi perkhidmatan Unit Rawatan Rapi (ICU), Unit Tabung Darah serta Unit Trauma dan Kecemasan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) boleh merujuk ke hospital lain di daerah ini sementara menunggu pihak kejuruteraan menjalankan pemeriksaan secara menyeluruh terhadap tahap keselamatan blok berkenaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, semua perkhidmatan dalam blok berkenaan akan dipindahkan sepenuhnya ke hospital lain menyebabkan beberapa gangguan.

Beliau berkata, keputusan sama ada bangunan blok itu selamat digunakan semula akan dibuat selepas proses siasatan itu dijalankan.

"Paling cepat, ia akan mengambil masa dua minggu, namun jika lewat ia akan makan masa antara tiga hingga empat minggu.

"Jadi, sepanjang tempoh ini, akan berlaku gangguan terhadap beberapa perkhidmatan kerana kesan penutupan blok itu amat besar," katanya selepas mengesahkan keseluruhan Blok Barat HSA ditutup buat sementara waktu.

Beliau berkata, pihaknya mahu memberi masa kepada pihak kejuruteraan menjalankan pemeriksaan secara menyeluruh ke atas tahap keselamatan blok itu termasuk semua aspek pendawaian, struktur, gas bio-perubatan, utiliti dan perkara-perkara lain.

Oleh itu, katanya, keputusan sudah dicapai supaya pesakit, kakitangan serta perkhidmatan blok berkenaan akan dipindahkan ke hospital lain termasuk Hospital Permai dan Hospital Sultan Ismail (HSI).

Katanya, pihaknya berharap rakyat di daerah ini khususnya yang menggunakan perkhidmatan perubatan di HSA memahami keadaan yang berlaku dan diminta merujuk hospital lain buat sementara waktu.

"Saya minta penduduk daerah ini memahami perkara ini dan boleh menggunakan perkhidmatan di HSI atau Hospital Kulai dan sebagainya untuk keperluan mereka.

"Jika tidak boleh, kita cuba beri juga perkhidmatan di sini tetapi kena faham kesulitan dalam masa beberapa minggu ini," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut meminta bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menempatkan kemudahan Bilik Pembedahan Bergerak untuk kes-kes pembedahan ringan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 5:05 PM