Muar: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Muar merampas minyak masak yang disembunyikan sebanyak 3.5 tan bernilai RM9,708.90 hasil serbuan di rumah di Rawang, Tangkak, semalam.

Ketua Cawangannya, Nor Azmi Lamisza berkata, serbuan membabitkan 15 anggota dilakukan jam 3.30 petang hasil maklumat orang ramai dan intipan selama dua hari.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati rumah itu tidak berpenghuni dan pihaknya kini cuba mengesan pemilik berkenaan dengan bantuan Syarikat Air Johor (SAJ), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pihak berkuasa tempatan.

Katanya, dalam serbuan itu pihaknya menemui sebanyak 146 kotak (5 kilogram) untuk empat unit sekotak dan 45 kotak (1 kilogram) untuk 17 unit sekotak.

Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 15 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 20(1) Akta sama di mana jika sabit kesalahan, bagi individu boleh didenda RM1 juta dan syarikat RM2 juta dan penjara maksimum tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 5:54 PM
Nor Azmi (dua kiri) menunjukkan minyak masak yang dirampas dalam serbuan, semalam. FOTO Ibrahim Isa