IHSAN PDRM
Nadzreen Shah Mat Salim
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Dua puluh tujuh pesalah trafik tegar yang mempunyai waran tangkap diheret terus ke mahkamah untuk pendakwaan serta merta sejurus ditahan.

Semua individu yang menjadi buruan polis itu ditahan dalam operasi Ops Warta dilakukan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di sekitar ibu kota, di sini, sejak semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain, berkata 58 notis turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang dua hari operasi.

“Kebanyakan individu yang ditahan didapati tiada lesen, cukai jalan tamat tempoh dan kenderaan tiada nombor plat kenderaan.

“Semua pesalah trafik itu dibawa ke balai untuk dokumentasi sebelum dibawa terus ke Mahkamah Majistret Jalan Duta untuk pendakwaan," katanya.

Menurutnya, pesalah dikesan dengan menggunakan alat peranti peralatan sistem pembayaran kompaun dalam talian mudah alih (MCOPS) dan alat pengimbas Sistem Pengesanan Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR).

“Operasi ini dilakukan dua kali seminggu dan akan diteruskan dari masa ke semasa terhadap pesalah pesalah trafik yang tidak menghiraukan saman polis trafik sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 8:22 PM