SEBUAH bangunan yang runtuh di Borgo Sant'Antonio dalam kejadian semalam.
SEBUAH bangunan yang runtuh di Borgo Sant'Antonio dalam kejadian semalam.
SEORANG anggota bomba memeriksa sebuah bangunan yang runtuh di tengah Itali, selepas gempa bumi melanda kawasan itu, semalam.  - Reuters
SEORANG anggota bomba memeriksa sebuah bangunan yang runtuh di tengah Itali, selepas gempa bumi melanda kawasan itu, semalam. - Reuters
Agensi

Visso: Itali semalam menilai kerosakan selepas satu lagi gempa bumi memaksa ribuan penduduk yang dalam ketakutan bertempiaran meninggalkan kediaman masing-masing.

Bagaimanapun, kejadian itu tidak menyebabkan sebarang kematian.

Dua bulan selepas satu gempa yang menyebabkan hampir 300 orang terbunuh di negara itu, dua gempa menggegarkan kawasan pergunungan kurang padat penduduk di tengah Itali malam kelmarin (awal pagi Khamis waktu Malaysia).

Walaupun beberapa bangunan runtuh, tidak ada kematian dilapor berlaku sehingga tengah hari semalam, lebih 17 jam selepas gegaran pertama 5.5 dan 6.1 magnitud itu.

Menteri Dalam Negeri, Angelino Alfano menyifatkannya sebagai satu keajaiban jika dibandingkan dengan kekuatan gempa itu.

Agensi perlindungan awam kebangsaan berkata, kerosakan yang berlaku agak teruk tetapi sehingga petang semalam, tidak ada penduduk yang dilapor terperangkap di bawah runtuhan.

Pasukan penyelamat mula membersihkan kawasan terbabit sementara ratusan keluarga masih tidak pasti sama ada mereka akan kembali ke kediaman masing-masing.

Lebih 100 gempa susulan melanda kawasan itu sepanjang malam selepas dua gempa kuat itu yang turut dirasakan di Rome, kira-kira 175 kilometer dari pusat gempa.

Datuk Bandar Ussita, Marco Rinaldi menyifatkan keadaan di situ sebagai amat teruk.

“Penduduk berada di jalan raya menjerit ketakutan. banyak rumah runtuh. Bandar kami musnah sama sekali. Saya pernah merasa gempa bumi tetapi semalam yang paling kuat.

“Mujur semua penduduk sudah meninggalkan rumah masing-masing selepas gempa pertama,” katanya.

Di Rome, sebahagian penduduk turut meninggalkan rumah sebagai langkah berjaga-jaga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 9:27 AM