MANGSA banjir, Mohd Fazli Abdul Manan, 43, dan keluarganya mengemas barang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan selepas dibenarkan pulang ke rumah mereka di Kampung Pandan 2. FOTO Shahrulnizam Mohamad
Oleh Shahrulnizam Mohamad

Kuantan: Cuaca cerah sepanjang hari membolehkan 1,449 mangsa banjir daripada 408 keluarga di daerah ini pulang ke rumah masing-masing, hari ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan berkata, tujuh pusat pemindahan yang ditutup adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan, Sekolah Kebangsaan (SK) Fakeh Abd Samad, Dewan Orang Ramai Seri Damai, SMK Gudang Rasau, Dewan Orang Ramai Kampung Semangat, Pusat Bina Insan Jaya Gading dan Balai Raya Kampung Sungai Soi, kira-kira jam 4 petang tadi.

"Bagaimanapun, semua mangsa banjir terbabit diingatkan mengambil langkah berjaga-jaga supaya kembali ke pusat pemindahan jika berlaku banjir lagi di kampung masing-masing," katanya ketika dihubungi.

Jurucakap itu berkata, bagi kawasan Lorong Haji Husin Pandan 2, Lorong 26, 27, 28 Taman Tas Jaya arahan dibenarkan pulang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail selepas memastikan kawasan perumahan disahkan selamat.

Katanya, keadaan banjir mula surut dan cuaca yang semakin baik mengizinkan mereka pulang dan membersihkan rumah masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 6:26 PM