BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemain nombor 10 dunia, Amy Yang (gambar) mencatat lapan bawah par 63 untuk mendahului dengan dua pukulan pada pusingan pertama Kejohanan Golf Sime Darby LPGA Malaysia di TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara, di sini, semalam.

Pemain berusia 27 tahun dari Korea Selatan itu, yang mula menyertai Jelajah LPGA pada 2008, ternyata berpuas hati dengan prestasinya kerana berjaya mengelak daripada melakukan kesilapan pada pusingan pembukaan itu.

Dalam saingan semalam, Amy melakukan empat birdie di sembilan lubang pertama, dan pada sembilan lubang kedua, dia sekali lagi mencatat birdie di lubang ke-13, dan kemudian tiga kali berturut-turut membuat birdie bermula di lubang ke-15.

“Pada empat lubang terakhir, pukulan saya benar-benar mantap. Saya membuat pukulan yang baik dan gembira kerana tidak melakukan sebarang bogey,” kata Amy.

Amy memenangi dua kejuaraan Jelajah LPGA, Kejohanan LPGA KEB-HanaBank 2013 dan Honda LPGA Thailand 2015.

Sementara itu, pemain kurang ternama dari Amerika Syarikat, Marina Alex mencuri tumpuan pada pusingan pertama apabila melakukan enam bawah par 65.

“Saya membuat pukulan yang hebat. Jelas sekali, sesiapa saja melakukan pukulan bawah par akan menyatakan mereka membuat yang baik,” kata pemain berusia 26 tahun itu.

Di belakang pendahulu dengan tiga pukulan ialah enam pemain yang berkongsi di tempat ketiga, dengan masing-masing melakukan lima bawah par 66.

Mereka ialah juara edisi 2014 dan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio, Shanshan Feng dari China, Suzann Pettersen (Norway), Azahara Munoz (Sepanyol), Jenny Shin (Korea Selatan) dan dua pemain Amerika Syarikat, Mo Martin dan Michelle Wie.

Pemain nombor satu dunia, Lydia Ko dari New Zealand, pula berkongsi di tempat ke-30 bersama-sama 12 pemain lain termasuk pemain Malaysia, Jean Chua, selepas mencatat par 71.

“Saya tidak sepatutnya membuat double bogey di lubang kedua. Sepanjang hari ini, saya berusaha dan meletakkan diri saya dalam kedudukan untuk membuat pukulan bawah par,” kata Lydia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 9:44 AM