PEMAIN Pulau Pinang meraikan kejayaan kekal di Liga Super selepas perlawanan menentang Terengganu pada aksi terakhir musim ini.
PEMAIN Pulau Pinang meraikan kejayaan kekal di Liga Super selepas perlawanan menentang Terengganu pada aksi terakhir musim ini.
Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: “Jangan ingat kami akan berdiam diri dalam isu membabitkan Johor DT (Johor Darul Ta’zim) dan PDRM ini. Kami tidak rela hak bersaing dalam Liga Super musim pada depan dirampas begitu saja,” tegas Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) Datuk Seri Nazir Ariff, semalam.

Beliau berkata, Pulau Pinang akan melakukan apa saja jika peluang mereka bermain dalam Liga Super dilucutkan begitu saja sedangkan berdasar merit, mereka sepatutnya berada di kedudukan ke-10 Liga Super di atas PDRM dan Terengganu.

Selepas pemain beraksi bermati-matian pada perlawanan terakhir sebelum menang 1-0 ke atas Terengganu di Stadium Bandaraya, Sabtu lalu, beliau mengakui sesuatu yang zalim jika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) membuat keputusan menyingkirkan kami selepas tamat liga.

“Kami terkejut dengan apa yang berlaku, malah menyifatkan senario itu sebagai situasi yang cukup teraniaya kepada Pulau Pinang.

“Bermula insiden Pahang diberi tiga mata percuma atas kesalahan Kedah menurunkan pemain yang digantung perlawanan, kini kami tertekan sekali lagi apabila mendapat tahu PDRM yang berada di bawah kami turut menuntut perkara sama,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Nazir berkata, pihaknya mempersoalkan mengenai Peraturan Pertandingan 2013-2016 dalam Bantahan 5.3.1, bantahan kelayakan pemain atau lain-lain bantahan yang hendaklah dihantar secara bertulis kepada Setiausaha FAM dalam tempoh 72 jam selepas tamat perlawanan, tetapi tidak diguna pakai.

“Saya berharap Jawatankuasa Tatatertib FAM perlu ada budi bicara kerana sebarang tindakan mengenai isu perlawanan Johor DT-PDRM akan beri kesan buruk kepada Pulau Pinang,” katanya.

Rabu lalu, PDRM membuat aduan rasmi kepada FAM mengenai status penyerang Johor DT Juan Martin Lucero yang sudah mengutip tiga kad kuning diturunkan ketika perlawanan di Stadium Larkin, pada 16 Ogos lalu. Johor DT menang 4-0 perlawanan itu.

Selain itu, Nazir berkata, perancangan Pulau Pinang turut tersekat terutama dalam memancing pemain berkualiti sama ada import atau tempatan susulan status mereka untuk musim depan masih kabur.

Sehubungan itu, beliau mahukan isu berkenaan diselesaikan secepat mungkin menerusi situasi menang-menang.

“Kalau sudah berdepan kesukaran sebegini, apa maknanya Pulau Pinang beraksi dalam Liga Malaysia jika hak kami dinafikan.

“Saya yakin jika keputusan antara Johor DT-PDRM nanti tidak memihak salah satu pihak, isu ini akan berterusan untuk jangka masa lama.

“Untuk Pulau Pinang, kami pasti tidak berpuas hati jika diarahkan bermain dalam Liga Perdana tahun depan. Jadi, jangan jadikan kami kambing hitam, ini amaran saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 9:57 AM