‘TIME Artifacts’ hasil karya Thomas Cheong dari Singapura.
ARTIS Thailand Sudsiri Pui-Ock menerusi ‘Worldly Wisdom’.
KARYA artis Malaysia James Seet berjudul ‘Janus Past/Present’.
CHANG menunjukkan sinki seramik ‘Serpent Eve’ pada Pameran Kohler Bold.Art. di TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara.
Siti Salmiah A Hamid


Dikenali di seluruh dunia, jenama yang bertapak sejak 1873 tidak perlu disangkal lagi mengenai mutu pembuatan dan nilai seni tersendiri yang menghiasi dapur suri rumah dan ruang mandi.

Bagi menunjukkan sokongan terhadap kerancakan industri seni, Kohler menerusi pameran Kohler Bold.Art. yang bermula di Thailand pada Jun tahun lalu bakal melabuhkan tirainya apabila singgah di Kuala Lumpur sebagai perhentian terakhir.

Orang ramai berpeluang menikmati hasil sentuhan enam artis berpengalaman dari Malaysia, Filipina, Thailand, Singapura, Indonesia dan Vietnam yang mewakili Asia Tenggara.

Setiap artis memiliki perinciannya tersendiri manakala interpretasi yang dihasilkan mengenai perjalanan dunia hari ini dan masa depan berkaitan teknologi, budaya, ekonomi dan masyarakat.

Pengurus Komunikasi Pemasaran Dapur & Kamar Kohler Asia Tenggara Benjamin Chang berkata, pemilihan artis terbabit berdasarkan pengalaman, keupayaan serta teknik diguna pakai dalam setiap persembahan seni.

“Artis turut diterbangkan ke China untuk melihat pembuatan barangan Kohler dengan lebih mesra dan dekat serta mampu menghasilkan karya seni yang menepati ciri dan kehendak Kohler.

“Karya seni enam artis berkenaan meneroka konteks budaya dan paparan perspektif mengenai perubahan pembandaran dan peningkatan Asia di pentas dunia sebagai satu kuasa ekonomi. Ia turut berkait rapat dengan kesan inovasi dan teknologi yang berterusan terhadap masyarakat.

“Kohler Bold.Art. turut ditunjangi beberapa karya hasil ciptaan pereka dan jurutera syarikat itu sendiri. Rekaan hebat ini membawa jenama Kohler ke serata dunia dengan penggunaan bahan seramik bermutu tinggi,” katanya.

Produk dari siri ‘Kohler Artist Editions’ dicipta artisan mahir dengan kaedah yang diturunkan daripada generasi ke generasi. Setiap reka bentuk diilhamkan daripada corak dan palet warna berdasarkan budaya dan landskap seluruh dunia.

Orang ramai dialu-alukan menyaksikan pameran Kohler Bold.Art. di TPC Kuala Lumpur sehingga 30 Oktober ini.

INFO

KOHLER BOLD.ART.

• LOKASI: TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara.

• MASA: 8.30 pagi sehingga 5.30 petang (Isnin hingga Ahad).

• BAYARAN: RM50.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 11:07 AM