KEADAAN motosikal yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan Polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Lundu: Lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh pacuan empat roda di Jalan Lundu-Sematan berhampiran Kampung Tebero, di sini, malam tadi.

Dalam kemalangan 9.50 malam itu, Bobin Nelsun Elis, 20, maut di lokasi kejadian kerana parah di kepala dan badan.

Mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Lundu menuju ke Sematan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Deputi Superintendan Alexson Naga berkata, siasatan awal mendapati mangsa cuba memotong kereta di depannya.

Menurutnya, ketika memotong mangsa gagal masuk kembali ke laluan asal sebelum merempuh pacuan empat roda dari arah bertentangan.

"Motosikal mangsa tidak sempat masuk semula ke laluan asal dan pacuan empat roda tidak sempat mengelak dan merempuhnya.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala dan badan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Alexson berkata, lelaki berusia 32 tahun yang juga pemandu pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa di hantar ke Hospital Lundu untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk pengebumian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 2:18 PM