SUAMI isteri didakwa atas 15 pertuduhan penggubahan wang haram.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuantan: Suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didakwa atas 15 pertuduhan membabitkan aktiviti penggubahan wang haram berjumlah RM4 juta.

Tertuduh Ahmad Shahabudin Talib, 36, dan isterinya, Ummie Salwanis Harun, 32, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dikenakan terhadap mereka di hadapan hakim Unaizah Mohd.

Ahmad Shahbudin didakwa dengan 10 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai RM3.7 juta manakala Ummie Salwanis berdepan lima pertuduhan sama dengan nilai RM300,000.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa institusi kewangan di Kuala Lumpur dan daerah ini sejak Disember 2012 hingga Oktober 2013.

Kesalahan itu dilakukan di bawah subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Liyana Shahrir kemudian menawarkan wang jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Peguam tertuduh, Datuk Syed Azimal Amir Abu Bakar bagaimanapun merayu agar wang jaminan dikurangkan kerana tertuduh mempunyai empat anak yang perlu ditanggung selain sudah lagi tidak bekerja.

Pasangan suami isteri yang mengenakan pakaian hijau tenang sebaik hakim menetapkan wang jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Dua tertuduh terbabit turut diperintah menyerahkan pasport mereka untuk simpanan mahkamah selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 November ini.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 3:28 PM