Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


“SAYA yakin Selangor kekal juara Piala Malaysia,” kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata demikian mengulas pertemuan final Piala Malaysia antara Selangor dan Kedah pada Ahad ini.

Menurutnya, beliau akan bertemu dengan pemain Selangor, malam ini, bagi memberi dorongan dan suntikan semangat.

"Sehingga ini, saya amat berpuas hati dengan prestasi pemain. Sebaik selesai musim Piala Malaysia, kita akan membincangkan perancangan masa depan pasukan," katanya yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Ditanya mengenai imbuhan jika kekal juara, Mohamed Azmin berkata, perkara itu akan diumumkan kelak.

Malah, katanya, kerajaan negeri sentiasa menghargai sumbangan pemain bola sepak negeri.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin, berkata Belanjawan Negeri Selangor 2017 yang akan dibentangkan, Isnin ini, akan lebih menumpukan kepada perbelanjaan pembangunan lebih daripada mengurus.

Katanya, peruntukan besar akan diberikan kepada pembangunan kampung dan desa bagi memastikan golongan rakyat di kawasan itu tidak ketinggalan dalam arus kemodenan negeri.

"Tahun ini, kita menaikkan belanja pembangunan kepada 50 peratus dan mengurus juga 50 peratus.

"Selain itu, pada belanjawan itu,saya berikrar supaya belanja pembangunan akan terus dinaikkan supaya pertumbuhan ekonomi dapat dijana dan memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhan," katanya.

Mohamed Azmin ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Taman Jenderam Murni kepada 83 penerima di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 3:43 PM