S Subramaniam ketika sidang media. FOTO Mohd Fadli Hamzah
S Subramaniam ketika sidang media. FOTO Mohd Fadli Hamzah
HOSPITAL Sultanah Aminah
HOSPITAL Sultanah Aminah
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Kementerian Kesihatan akan bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi melakukan audit keselamatan secara terperinci terhadap 48 hospital berusia lebih 50 tahun di seluruh negara mulai minggu depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, audit terperinci ke atas bangunan lama hospital itu penting bagi memastikan insiden kebakaran di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor tidak berulang.

Beliau berkata, antara hospital berkenaan termasuk Hospital Batu Gajah, Perak yang berusia lebih 136 tahun dan Hospital Balik Pulau, Pulau Pinang (106 tahun).

"Dari segi fizikal, kesemua bangunan hospital itu masih kukuh dan berfungsi dengan baik namun, pihak bomba dan JKR boleh memberi nasihat supaya tahap keselamatannya lebih terjamin dan masih boleh digunakan.

"Bangunan lama mempunyai reka bentuk dan spesifikasi berbeza berbanding bangunan baru justeru, tahap keselamatannya perlu sentiasa dipantau," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, bagi sesebuah hospital, ada bangunan baru dan lama malah, kedua-duanya masih berfungsi dengan baik bagi menampung keperluan.

Mengulas mengenai perkembangan terbaru siasatan kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU), HSA, Subramaniam berkata, laporan kerugian kebakaran akan diperolehi dalam tempoh dua minggu.

"Pihak bomba masih menyiasat perkara itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 5:08 PM