Status Facebook yang disiarkan wanita dikatakan isteri pegawai SPRM mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
BERNAMA

Johor Bahru: Polis Johor sedang mengesan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dipercayai memukul dan mengugut isterinya dengan parang.

Ia berikutan dua laporan polis berhubung kes itu yang diviralkan di Facebook milik seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, dua kertas siasatan dibuka dan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan/Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Beliau berkata kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah.

"Suspek didapati tidak hadir bertugas di pejabatnya di Segamat dan mempunyai rekod kes narkotik di Muar tahun lalu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, SPRM menyatakan ia membuka kertas siasatan tatatertib terhadap pegawainya yang didakwa memukul isteri seperti yang tersebar di media sosial.

SPRM dalam kenyataan berkata, ia bersedia memberi kerjasama kepada polis dan tidak teragak-agak mengambil tindakan disiplin jika terbukti bersalah,

Baru-baru ini, akaun laman sosial Facebook menggunakan nama Shahilda Fadhil memuat naik status kisah keganasan rumah tangga yang dialaminya dan mendakwa suaminya, pegawai SPRM sering mendera dan melakukan serangan seksual terhadapnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 6:38 PM