FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Anggota polis maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang lori kontena di tepi jalan di Batu 3, Segari, dekat sini.

Mohamad Firdaus Baharum, 29, meninggal dunia di tempat kejadian pada 7.45 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah, berkata mangsa bertugas di Balai Polis Segari dan menunggang Yamaha LC.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang dari Seri Manjung ke Segari dipercayai melanggar belakang lori kontena yang diletakkan di tepi jalan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh kakitangan perubatan ambulans Hospital Seri Manjung (HSM). Pemandu lori tidak cedera.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HSM dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2016 @ 10:41 AM