X
FOTO Asyraf Hamzah
FOTO Asyraf Hamzah
Saiful Affendy Sapran


PELUMBA wild card negara, Ramdan Rosli mencipta kejutan apabila muncul pelumba terbaik Malaysia pada sesi kelayakan Moto2 Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Dia mencatat masa ke-12 terpantas sekali gus bakal bermula di barisan keempat pada perlumbaan esok.

Pelumba PETRONAS AHM Malaysia itu mencatat 2 minit 22.697 saat, ketinggalan 4.076s di belakang Johann Zarco (Ajo Motorsport) yang mencatat masa terpantas.

Ramdan juga menewaskan rakan senegara, Hafizh Syahrin Abdullah dari PETRONAS Raceline Malaysia yang mencatat masa ke-14 terpantas.

Sementara itu, Adam Norrodin menjadi pelumba terbaik negara untuk sesi kelayakan Moto3 apabila mencatat masa ke-18 terpantas sekali gus bakal bermula di barisan keenam pada perlumbaan esok.

Pelumba SIC Racing Team itu mencatat 2 minit 28.965 saat, ketinggalan 2.697s di belakang Brad Binder (Red Bull KTM Ajo) yang mencatat masa terpantas untuk bermula di petak pertama esok.

Khairul Idham Pawi dari Honda Team Asia pula mencatat masa ke-20 dengan catatan 2:28.989s.

Hafiq Azmi pula yang menggantikan John MacPhee untuk pasukan Peugeot MC Saxoprint berikutan kecederaan menimpa pelumba Scotland itu, mencatat masa ke-22 terpantas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2016 @ 4:42 PM