FOTO Danial Saad
Shamsul Munir Safini


Georgetown: Empat lelaki diselamatkan, meranduk banjir pada Deepavali dan bayi dipindahkan antara peristiwa sepanjang banjir kilat melanda Pulau Pinang, lewat petang Sabtu.

Bomba menyelamat empat lelaki berikutan tanah runtuh di laluan keluar sebuah tokong di Ayer Hitam, 6.30 petang tadi.


FOTO Danial Saad

Dalam kejadian itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kecemasan daripada seorang mangsa memaklumkan kejadian tanah runtuh antara jalan utama dan laluan ke empangan Ayer Hitam.

Ketua Operasi, Penguasa Bomba Ridzuan Zolkifli, berkata mangsa bersama tiga rakannya terkandas dalam kereta dekat jalan yang menyambungkan jalan utama dan tokong berikutan tanah runtuh.


FOTO Danial Saad

Beliau berkata, kesemua mereka kemudian dikeluarkan dari kereta dan dibawa ke tempat yang lebih selamat oleh pihaknya.

Katanya, di dalam tokong itu juga terdapat lima lagi mangsa yang terkandas, namun mereka enggan dipindahkan ke tempat yang selamat walaupun sudah dipujuk.


FOTO Danial Saad

Selain itu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) pula membantu enam sekeluarga di Jalan P Ramlee, termasuk bayi perempuan tiga bulan pindah ke tempat selamat menggunakan bot.

Bagaimanapun, air dikatakan sudah mula surut selepas hujan berhenti, pada kira-kira 10 malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 12:41 AM