SECARA kebetulan hampir sama dengan filem Inferno.
Amirul Haswendy Ashari


Filem Desolasi arahan Syafiq Yusof yang dijayakan Syamsul Yusof dan Nabila Daly akan ditayangkan di pawagam mulai 8 Disember depan.

Tapi tiba-tiba saja ada kisah menarik di sebalik pembikinan poster filem itu apabila ada persamaan dengan filem Inferno, lakonan Tom Hanks yang sedang ditayangkan di pawagam tempatan.

Walaupun dari segi warna latar dan premis filem berbeza, kedua-dua poster menunjukkan dua pelakon utama sedang berlari ke arah sama.

Susulan isu itu, Selebriti sempat bertemu Syafiq bagi mendapatkan penjelasan apakah ia suratan atau kebetulan.

Syafiq terkejut apabila mendapat tahu mengenai persamaan yang wujud dalam poster filem Desolasi dan Inferno.

Katanya, dia bertanya pada pereka grafik yang menghasilkan poster itu dan difahamkan ia tidak disengajakan.

“Apabila difikirkan semula, bagus juga isu ini timbul sebab orang akan buat perbandingan dan bercakap mengenainya,” katanya.

Syafiq adik pelakon dan pengarah Syamsul Yusof bimbang apabila isu itu dibangkitkan kerana menuduhnya sengaja meniru rekaan poster.

Namun katanya, sebaik saja poster itu mula tersebar, dia mendapat maklum balas bercampur baur daripada peminat dan netizen.

Menurutnya, ada peminat memberi komen positif dan memberi pandangan supaya menonton trailer filem terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukum.

“Ada juga yang kata Desolasi mengarut tapi lebih ramai yang memberi sokongan berbanding mengkritik,” katanya.

Syafiq menjelaskan, poster Desolasi siap Ogos lalu dan ketika itu poster filem Inferno belum lagi muncul di pasaran filem tempatan.

“Poster yang tersebar itu bukan poster utama. Poster utama hanya paparkan watak utama berseorangan sahaja manakala poster yang tersebar itu adalah poster kedua.

“Saya hanya mahu mencari kelainan sebab umum tahu setiap poster filem keluaran Skop Production akan paparkan banyak pelakon, jadi saya nak ubah dengan cara sendiri.

“Bagaimanapun papa (Datuk Yusof Haslam) sarankan saya menghasilkan poster yang paparkan dua watak dalam filem berbanding hanya satu watak sahaja.

“Selepas melakukan beberapa perincian, baharulah kami bersetuju untuk wujudkan dua rekaan poster,” katanya.

Walaupun tinggal lagi sebulan tayangan, Syafiq gembira kerana filem itu mendapat perhatian pengedar daripada Indonesia untuk ditayangkan di sana.

Ia sekali gus mengikut jejak filem Munafik arahan Syamsul yang berjaya ditayangkan di 30 pawagam seluruh Indonesia sejak 5 Oktober lalu.

Syafiq bersyukur kerana MD Pictures berminat mengedarkan Desolasi selepas menonton trailer filem itu.

“Pada masa Munafik ditayangkan di sana, mereka tengok trailer Desolasi di YouTube. Setakat hari ini, trailer filem Desolasi berjaya mencecah hampir 9 juta tontonan termasuk di YouTube dan laman Facebook.

“Oleh sebab sudah ada kerjasama sebelum ini, mereka menghubungi Skop Production. Saya sedar tidak mudah untuk dapatkan tayangan di sana tapi ia permulaan yang baik,” katanya.

Pada masa ini MD Pictures dan Skop Production masih lagi dalam proses perbincangan untuk menetapkan jumlah pawagam, tarikh dan beberapa perkara lain.

Pengarah filem Abang Long Fadil, S.A.M dan Vila Nabila itu kini dalam proses menyiapkan dua filem baru, Abang Long Fadil 2 dan KL Special Force yang dijangka berada di pawagam awal tahun depan.

Malah dia juga dalam proses menghasilkan filem genre thriller yang akan memulakan penggambaran awal tahun depan.

“Jika tiada aral, tiga filem arahan saya akan ditayangkan tahun depan,” katanya yang kini dalam proses siapkan skrip dan pemilihan pelakon.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 5:05 AM