Keadaan mesin ATM yang dipecahkan. FOTO ihsan PDRM
Mohd Hafizee Mohd Arop

Kampar: Dua mesin juruwang automatik (ATM) di pasar raya terkemuka di sini dipecahkan menggunakan gas oxy-acetylene oleh empat lelaki bersenjatakan parang dan kuku kambing, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, tiga pengawal keselamatan yang sedang membuat rondaan turut diikat dan dikurung dalam tandas oleh keempat-empat suspek bertopeng itu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, keempat-empat suspek bagaimanapun gagal membawa lari wang tunai yang berada dalam mesin ATM berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek memecahkan cermin salah satu pintu pasar raya itu untuk masuk ke dalam dan melarikan diri menggunakan laluan yang sama selepas melihat kereta Unit Kereta Peronda Polis(MPV) melakukan rondaan di kawasan pasar raya itu.

Menurutnya, suspek meninggalkan semua peralatan yang digunakan untuk memecahkan kedua-dua mesin ATM itu ditempat kejadian.

"Pengawal keselamatan hanya berjaya melepaskan diri jam 6.15 pagi tadi sebelum mendapatkan bantuan dan membuat laporan polis.

"Ketiga-tiga pengawal keselamatan cedera di pergelangan tangan akibat diikat dan dibawa ke Hospital Kampar untuk menerima rawatan," katanya.

Kong Soon berkata, siasatan lanjut mengenai kejadian itu masih dijalankan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 5:51 PM