GAMBAR disiarkan badan penyiar Itali, Sky Tg24 menunjukkan sebuah bangunan yang musnah di Norcia. - AFP
GAMBAR disiarkan badan penyiar Itali, Sky Tg24 menunjukkan sebuah bangunan yang musnah di Norcia. - AFP
 BOMBA dan anggota penyelamat membantu seorang wanita yang berkerusi roda di Norcia. - AFP
BOMBA dan anggota penyelamat membantu seorang wanita yang berkerusi roda di Norcia. - AFP
Agensi

Rome: Gempa bumi 6.6 magnitud menggegarkan tengah dan selatan Itali semalam, di kawasan sama yang mengorbankan hampir 300 orang dalam bencana pada 24 Ogos lalu, menyebabkan bangunan yang sudah sedia rosak runtuh sementara ribuan lagi orang kehilangan tempat tinggal.

Gempa kali ini yang paling kuat melanda Itali sejak 36 tahun lalu namun tiada kecederaan teruk atau kematian dilaporkan.

Bagaimanapun, penduduk yang sememangnya hidup kebimbangan akibat gegaran berterusan sejak beberapa hari lalu bertempiaran menyelamatkan diri ke kawasan terbuka termasuk dataran dan jalan raya selepas gempa melanda jam 7.40 pagi (waktu tempatan) semalam berhampiran Norcia.

Gegaran turut dirasai di ibu negara, Rome sehingga menyebabkan kereta api metro ditutup, serta Venice yang terletak hampir 300 kilometer dari Norcia.

Ketua pihak berkuasa perlindungan awam di wilayah March, Cesare Spuri berkata, banyak bangunan yang runtuh di pelbagai bandar.

“Kami masih memastikan tiada mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan,” katanya.

Gempa bumi paling teruk direkodkan sebelum ini di Itali berlaku pada 1980 dengan magnitud 6.9 yang menyebabkan 3,000 kematian.

Sementara itu, Perdana Menteri Matteo Renzi menyuarakan kesedihan dengan kejadian terbaru itu.

“Ini memang tempoh sukar untuk kami, namun kita tidak boleh membiarkan keletihan dan tekanan ini mematahkan semangat kita,” katanya.

Gereja terkenal Norcia, Basilica Saint Benedict yang dibina pada kurun ke-14 musnah sepenuhnya dalam kejadian itu.

Sementara itu, Timbalan Datuk Bandar Norcia, Pierluigi Altavilla berkata, penduduk bandar itu dikejutkan bunyi seperti bom.

“Kami semakin patah semangat. Terlalu banyak gempa bumi berlaku kebelakangan ini dan kami sudah tidak mampu menanggungnya lagi,” katanya.

Datuk Bandar Ussita - yang turut terkesan akibat gempa itu - Marco Rinaldi memberitahu agensi berita ANSA: “Ini memang malapetaka! Saya sedang tidur di dalam kereta ketika gempa melanda.”

Ramai penduduk tinggal di pusat pemindahan, hotel atau memilih tidur di dalam kereta sejak kawasan itu dilanda gempa kuat pada Rabu lalu.

Rakaman televisyen di Norcia menunjukkan rahib bergegas keluar dari Basilica dan berkumpul bersama orang ramai apabila menara bangunan itu nampak seolah-olah mahu runtuh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 11:19 AM