Nor Azura Abdul Jalil

[email protected] com.my

Kuala Lumpur: Bekas penuntut kolej di Kaherah, Mesir dihukum penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi hari ini atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas al-Qaeda dengan menjadi ahli kumpulan itu, dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Shariff Abu Samah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Hidayat Azman, 20, selepas tertuduh mengaku salah dan memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 7 Disember 2015.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Hidayat didakwa memasuki Syria bagi memberi sokongan kepada kumpulan pengganas al-Qaeda (Jund Al Aqsa) dengan menjadi ahli kumpulan itu.

Mohamad Hidayat dari Kuala Bagan Tiang, Tanjung Piandang, Perak didakwa melakukan kesalahan itu dengan menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ke Syria antara 5 September 2014 hingga 1 September 2015.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 130J kanun sama yang boleh dipenjara seumur hidup atau tidak melebihi 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry manakala tertuduh diwakili peguam Faizal Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 12:14 PM