KAKITANGAN hospital membawa peralatan perubatan dari unit kecemasan ke dalam kontena Hospital Medan ATM. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Hospital bergerak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), hospital medan akan beroperasi 24 jam sehari mulai esok di pekarangan Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Ayub Rahmat berkata, persiapan terakhir sedang dilakukan bagi menerima pesakit mulai esok.

Beliau berkata, pelbagai ujian asas selain kerja pemasangan elektrik juga dilakukan.

"Semua pasukan seperti pakar-pakar bedah, bahagian kawalan jangkitan adalah daripada HSA.

"ATM hanya menyediakan bilik bedah bergerak dan akan mengendalikan pembedahan kecemasan trauma.

"Selepas pesakit stabil mereka akan dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI)," katanya.

Hospital bergerak itu dijangka beroperasi untuk tempoh dua minggu dengan memberi tumpuan kepada kes kecemasan yang memerlukan rawatan segera.

ATM akan menempatkan 20 hingga 30 anggota dan pegawai bagi membantu doktor HSA mengendalikan fasiliti hospital medan terbabit.

Hospital medan mampu memberi perkhidmatan rawatan kepada 60 hingga 70 pesakit dan menjalankan lima hingga enam pembedahan dalam satu hari.

Lima unit modul hospital hadapan ATM (kontena) yang ditempatkan di kawasan meletak kende­raan HSA akan dibentukkan untuk menjadi satu dewan bedah berukuran 244 meter persegi.

Dalam kejadian Selasa lalu, unit rawatan rapi (ICU) zon selatan di tingkat dua bangunan induk HSA terbakar dan mengorbankan enam pesakit, selain empat mangsa termasuk tiga kakitangan HSA cedera.

Malah bangunan induk HSA ditutup sementara bagi memberi ruang kerja-kerja pemeriksaan keselamatan, pendawaian dan struktur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 12:51 PM